Perhimpunan Agung UMNO 2010 Selaras Model Politik Baru

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Beberapa perubahan yang dilakukan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 termasuk acara di dalam dan di luar dewan serta sepanjang perhimpunan agung itu adalah selaras dengan model politik baru.

Setiauaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusof berkata perubahan yang dilakasanakan itu juga selaras dengan kehendak semasa dan mesra media agar ianya memberi manfaat kepada UMNO sebagai parti yang telah lama berkhidmat untuk rakyat dan menunjukkan ianya mampu berubah.

“Signifikan perubahan Perhimpunan Agung UMNO kali ini bukan sahaja mengikut model politik baru tetapi juga mengikut perubahan semasa dan kehendak landskap politik hari ini bahawa kita juga harus menunjukkan mampu berubah bermula daripada corak pengurusan acara-acara perhimpunan agung.

“Inilah yang akan tonjolkan nanti.  Perhimpunan agung kali ini kita akan dapat  lihat imej baru dengan hiasan logo-logo dan pelbagai hiasan lain seperti  “billboard“  yang besar dan sebagainya. . Di dalam dewan juga ada perubahan yang mana  gerai yang dulunya ditingkat bawah dipindah ke tingkat 3, manakala  tingat bawah untuk gerai korporat.

“Manakala aliran pergerakan pelawat, orang ramai dan pemerhati serta para delegasi yang lain juga akan dibuat secara sehala. Kedudukan dewan persidangan sayap juga  telah diubah daripada konsep  “classroom“ kepada konsep  “centre stage“ untuk dekatkan para perwakilan dengan pemimpin,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas  sesi raptai akhir perbarisan dan upacara menaikkan bendera UMNO, Sang Saka Bangsa di Anjung Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Ia merupakan raptai kedua  untuk acara luar dewan dan melibatkan 200 kakitangan ibupejabat UMNO bersama 150 ahli pergerakan sayap, masing-masing 50 ahli Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Ab Rauf seterusnya menambah, raptai perbarisan yang dilaksanakan itu juga turut mengambil kira pandangan media agar ianya memudahkan wartawan dan jurugambar  melaksanakan tugas mereka.

Pada masa yang sama beliau sekali lagi menjemput para pemerhati serta penganalisis politik agar menghadiri persidangan Forum Antarabangsa esok yang melibatkan delegasi asing dan wakil-wakil parti luar negara.

“Sebanyak 20 parti daripada 19 negara telah mengesahkan kehadiran masing-masing. Menerusi forum ini, kita cuba tonjolkan kepimpinan UMNO menjurus kepada model politik baru selain memperlihatkan cara kita mengendalikan konsep kongsi kuasa BN dan UMNO serta mendahului dalam konsep mengantarabangsakan Malaysia untuk dilihat sebagai  “rule model“ salah satu konsep kongsi kuasa yang boleh dicontohi oleh negara-negara lain.

“Dengan adanya forum antarabangsa ini kita akan dapat lihat bagaimana negara-negara lain akan mengkagumi formula yang ada di Malaysia hari ini. Dalam masa yang sama kita juga boleh berkongsi pengalaman tentang negara-negara yang mempunyai parti politik menempuh segala rintanagan dan masalah untuk kita jadikan tauladan dalam memperkukuhkan kedudukan UMNO  dan BN,“katanya.

Tambah beliau lagi, menerusi forum itu juga, ianya akan dapat berkongsi pandangan bagaimana untuk menghadapi serangan dunia maya dan bagaimana untuk membina kekuatan politik dalam dunia berkenaan.

Foum tersebut  akan menampilkan negarawan terkemuka iaitu Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan menyampaikan ucaptama, majlis perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala majlis penutupnya akan dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak.

Tema forum berkenaan adalah  ‘Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru’.

Bekas Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Tan Sri Razali Ismail, bekas Menteri Luar, Tan Seri Syed Hamid Albar  dan bekas Ketua Setiasuaha Kementerian Luar,  Tan Sri Rastam Mohd. Isa akan turut terlibat menjayakan forum berkenaan. -MediaUMNO

Lagi Berita