31 GLC Berjaya Kukuh Kedudukan Kewangan

KUALA LUMPUR 18 Okt – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) khususnya dalam kumpulan G-20, berjaya mengkuhkan kedudukan kewangan serta meningkatkan kecekapan operasi masing-masing selepas pengenalan Program Transformasi GLC (GLCT) pada Mei 2004.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata sehingga kini terdapat 31 GLC, termasuk 19 GLC terbesar dalam kumpulan G-20 menerusi GLCT, yang diselia oleh Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG).

Beliau berkata pengukuhan kedudukan kewangan dan kecekapan operasi itu telah memberi pelbagai manfaat yang ketara epada pemegang saham, pelanggan, pembekal, kakitangan syarikat serta masyarakat.

“Pendapatan Agregat G-20 telah meningkat daripada RM9.6 bilion pada tahun 2004 kepada RM19.3 bilion pada tahun 2007. Bagaimanapun, ia menyusut kepada RM11.7 bilion pada tahun lepas akibat kelembapan ekonomi ekoran krisis kewangan.

“Bagaimanapun kadar permodalan pasarana G-20 pula meningkat daripada RM159 bilion pada Mei 2004 kepada RM273 bilion pada Dis 2009,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Awang Adek berkata selain itu, beberapa GLC telah dapat menyediakan produk yang lebih inovatif dan perkhidmatan yang berkualiti dan cekap kepada pelanggan masing-masing.

“Contohnya, perkhidmatan Malaysia Airlines System Berhad kini lebih baik dan diiktiraf “5-Star Airline Award 2009/2020” oleh Skytrax dan “Asia’s Leading Airline 2009″ oleh World Travel Award,” katanya.

Katanya para pekerja GLC juga menerima manfaat langsung daripada program latihan dan pembangunan modal insan, selain 500,000 siswazah menganggur turut dilatih dan ditempatkan di pelbagai syarikat tempatan, termasuk GLC.

Selain itu, anggota masyarakat juga terus menerima manfaat langsung melalui beberapa inisiatif tanggungjawab korporat di peringkat nasional.

“Program PINTAR sehingga kini menyaksikan penyertaan kira-kira 27 GLC yang telah memberi manfaat keapda 103,500 murid di 207 sekolah di seluruh negara dan program pembasmian kemiskinan Yayasan Sejahtera yang menyasarkan 1,000 keluarga,” katanya.

Jelasnya, semua syarikat dalam kumpulan G-20 mencatatkan keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 2009 atau 2010, termasuk Malayan Banking Berhad yang untung RM3.8 bilion, dan CIMB Group RM2.8 bilion.

Hanya sebuah syarikat, Chemical Company of Malaysia, yang mengalami kerugian RM5.8 juta pada akhir tahun lepas, katanya.

Lagi Berita