GNP Korea Selatan Kagum Perubahan Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Okt. – Kejayaan UMNO bersama-sama Barisan Nasional (BN) menerajui pentadbiran negara sehingga berjaya membawa satu transformasi kepada negara dikagumi oleh para delegasi asing termasuk Grand National Party (GNP), Republik Korea.

Pengerusi Hubungan Antarabangsa GNP, Koh Seung Dok memberitahu bawa Malaysia yang ada hari ini jauh berbeza dengan negara yang dilawati beliau sekitar lima tahun lalu. SUA-KOREA SELATAN-PAU 2010

“Ia berkembang dengan pesat dan banyak kemajuan-kemajuan baru di bawa dalam negara yang menjadikan ia antara negara yang sangat dikenali di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kunjungan hormatnya kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, di pejabatnya, Menara Dato Onn.

“GNP sangat menghargai jemputan yang diberikan oleh UMNO untuk turut serta dalam forum antarabangsa yang julung kali dilakukan ini. Kami amat berbesar hati bekerjasama dan menjalin hubungan dengan sebuah negara Islam yang sedang pesat membangun,” katanya lagi.

Seung Dok turut yakin bahawa delegasi yang berkunjung ke negara ini bukan sahaja dapat berkongsi pengalaman dalam forum yang diadakan dan juga Perhimpunan Agung tetapi juga mendapat satu pengalaman dalam sebuah negara yang menarik.

Dalam kunjungan tersebut, para delegasi dan Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN bertukar-tukar pandangan dalam aspek politik semasa. Tengku Adnan menerangkan tentang perkembangan semasa khususnya selepas pilihan raya umum ke -12 lalu.

GNP adalah antara parti politik yang turut serta dalam forum antarabangsa selama dua hari anjuran UMNO sempena menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO bermula 19-23 Oktober ini.

Turut sama dalam kunjungan tersebut ialah Yoo Il Ho selaku Wakil Ketua Jawatankuasa Dasar Kordinasi; Cho Hyun Ah, Pengarah Biro Antarabangsa; dan dua orang wakil Kedutaan Besar Korea Selatan Lee Kang Kuk dan Jee Eun. – MediaUMNO

Lagi Berita