Model Politik Baru Perlu Berteraskan Rakyat

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Model Politik Baru yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan kelangsungan UMNO dilihat mampu melonjakkan semula sokongan orang Melayu terhadap parti itu jika ia berteraskan kepada keperluan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, transformasi politik perlu dilakukan segera demi untuk terus memastikan UMNO relevan dengan rakyat Malaysia.

Menurut beliau, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO telah bertindak secara betul bila mengubah tatacara pemilihan dalam UMNO supaya lebih demokratik dan dirasai di peringkat akar umbi.

“Namun, penjenamaan semula UMNO dan menukar imejnya penting supaya UMNO terus diterima bukan hanya oleh ahli-ahlinya tetapi rakyat keseluruhannya.

“UMNO bukan hanya parti politik tetapi merupakan institusi sosial Melayu yang menjaga kepentingan Melayu dan pada masa yang sama tidak mengenepikan kepentingan warga Malaysia dari keturunan lain.

“Model Baru Politik perlu juga mencakupi Barisan Nasional (BN) kerana rakyat sudah ditanamkan budaya kebencian oleh pembangkang terhadap UMNO dan BN,” katanya di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan mengulas saranan Najib tentang kemungkinan diwujudkan Model Politik Baru dengan menegaskan bahawa strategi seperti ‘politik pembangunan’ tidak lagi berkesan jika digunakan sekarang.

Namun, ujar Perdana Menteri, model berkenaan tidak akan mengubah matlamat perjuangan UMNO, sebaliknya perubahan yang dilakukan hanya dari segi kaedah umum.

Menurut Ahmad Zahid, rakyat kini lebih kritikal dan generasi muda mengharapkan perubahan drastik untuk menangani cita rasa mereka yang berbeza.

Sementara itu, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, para perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 nanti disaran menjadikan Model Politik Baru di dalam UMNO sebagai isi perbahasan mereka.

Menurut beliau, ini kerana ia relevan untuk dibincangkan selain memiliki dua komponen utama iaitu kerangka politik dan pemikiran politik yang progresif.

“Kerangka politik UMNO perlu berubah dari segi parti itu sendiri iaitu integriti dan idealisme perjuangan ahli terutama ahli-ahli baru dalam UMNO,” katanya.

Bagi Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula, keperluan mewujudkan Model Politik Baru seperti yang disarankan Perdana Menteri hakikatnya amat diperlukan dengan mengekalkan roh serta semangat perjuangan tokoh-tokoh terdahulu.

“Apa yang pasti, Pergerakan Puteri UMNO mahu Model Politik Baru yang bakal diwujudkan kelak mengambil kira pandangan golongan muda yang membentuk lebih 50 peratus populasi negara ini,” tambahnya.

Jelas Rosnah, parti yang statik dan tidak berubah semestinya gagal menarik perhatian generasi baru yang inginkan kelainan serta kematangan dalam mendepani pelbagai isu serta perkembangan yang melanda politik semasa tanah air.

Lagi Berita