Pak Lah Yakin Bajet 2011 Jayakan Transformasi

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yakin pelan transformasi yang digariskan kerajaan melalui Bajet 2011 bakal melonjakkan negara untuk keluar daripada ‘perangkap’ negara berpendapatan sederhana.

Menurut beliau, kesungguhan dan komitmen kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 kini mula menunjukkan hasil.

“Kita berdepan cabaran yang bukan sedikit untuk mengurus Malaysia tetapi itu tidak mematahkan usaha kerajaan melaksanakan transformasi dan kesungguhan tersebut makin terserlah dalam Bajet 2011 yang baru sahaja dibentang.

“Mereka (kerajaan) ada kesungguhan dan keupayaan untuk jayakan transformasi,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada majlis makan malam sempena Forum Antarabangsa: Pembinaan Masyarakat Global-Liberalisasi Media dan Realiti Baru Politik, di sini malam ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, veteran UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar, para delegasi asing serta barisan pimpinan muda Kelab UMNO Luar Negara.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, rakyat perlu menaruh keyakinan kepada kerajaan kerana kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang telah mentadbir negara ini selama 53 tahun terbukti berjaya meletakkan Malaysia pada keadaan sekarang.

“Kita perlu kongsi hasrat dan perasaan ini (menjayakan transformasi) bersama kerana rekod kerajaan sudah terbukti,” tegasnya.

Dalam pada itu, Abdullah menyambut baik penganjuran forum antarabangsa tersebut yang dibuat sebagai kelainan pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini.

Katanya, forum tersebut membolehkan negara-negara peserta berkongsi mengenai kekuatan serta kelemahan parti masing-masing, sekali gus memberi pengalaman berguna kepada UMNO untuk memastikan parti itu sentiasa relevan.

Lagi Berita