Parti Pembangkang Dialu-alukan Cuba Nasib Di Batu Sapi

BATU SAPI, 18 Okt – Pemuda UMNO bahagian ini percaya parti pembangkang mana pun yang akan meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi 4 November ini  akan ditolak oleh pengundi di kawasan berkenaan kerana yakin kemampuan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemudanya, Khairul Firdaus Datuk Akbar berkata kewibawaan BN menjaga kepentingan dan kebajikan penduduk Batu Sapi telah terbukti dan mempunyai “track record” sendiri yang menyebabkan peluang mereka untuk menyaingi BN cukup samar.

Justeru beliau mengalu-alukan mana-mana parti politik yang sah untuk meletakkan calon mereka bagi memberi peluang kepada rakyat untuk membuat penilaian dan pilihan mereka tersendiri kerana negara ini mengamalkan demokrasi berparlimen.

“Kita cukup percaya pengundi Batu Sapi menaruh keyakinan yang cukup tinggi kepada BN. Mereka sama sekali tidak akan menggadaikan masa depan mereka  kepada mana-mana parti politik yang tidak boleh menjamin kebajikan mereka.

“Saya  tidak nampak langsung mereka akan menolak BN kerana keseriusan dan keprihatian kerajaan negeri dan kepimpinan pusat terhadap Sabah tidak berbelah bagi. Apa pun racun yang datang kelak, mereka akan menolak mentah-mentah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online sebagai mengulas hasrat SAPP yang sudah memukul gendang untuk meletakkan calon mereka. Pada masa yang sama, dilaporkan DAP dan PKR masih berunding berhubung soal parti mana yang akan turut bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan.

Khairul Firdaus seterusnya melahirkan keyakinan sesiapa pun calon BN yang akan diketengahkan nanti sudah pasti akan mendapat sokongan padu jentera dan pengundi setempat.

Namun ujar beliau, biarlah calon yang dipilih kelak benar-benar menepati kehendak dan pengundi setempat terutama seorang pemimpin yang mesra serta bertanggungjawab.

“Apa pun yang penting, inilah kesimpulannya. Soal calon cukup penting kerana lambang sahaja tidak mencukupi kerana individu yang dipilih oleh rakyat kelak akan memainkan peranan besar untuk menjadi mata dan telinga rakyat.

“Selain itu, ianya juga membawa aspirasi BN yang mengutamakan rakyat sejajar dengan gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. Terserahlah kepada pucuk pimpinan untuk keputusan,” katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita