Terlondeh Sudah Segala Kudis Buta Yang Membatik Di Punggung Anwar

Secara umumnya, apa yang sedang berlangsung dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan masalah yang melingkungi Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim membayangkan kepada pihak luar bahawa semua perkembangan yang berlaku dalam PKR bukanlah suatu konspirasi yang cuba dilakukan oleh pihak luar.

Sekalian banyak masalah dan isu yang berlaku secara bertali arus dalam PKR tidak mampu dilakukan oleh mana-mana konspirator kelas 1 yang wujud di alam ini.

Freemason, FBI, KGB yang terkenal dengan kepakaran mereka dalam menyusun-atur pelbagai strategi dan konspirasi untuk menawan dunia atau mana-mana negara pun tidak termampu melakukan konspirasi yang bertali arus, apatah lagi untuk menggunakan hanya pelakon-pelakon dalaman seperti yang berlaku dalam PKR.

Sebutlah satu demi satu isu yang berlaku dalam PKR.

1. Isu kekecohan mesyuarat cabang seluruh negara yang menyaksikan pergaduhan yang melebihi suhu kepanasan mesyuarat MIC atau UMNO.

Mungkin gabungan budaya bekas ahli kecewa MIC, MCA dan UMNO yang wujud dalam PKR telah menyumbang kepada kekecohan luar biasa mesyuarat cabang PKR.

2. Keputusan sekejap menang sekejap kalah calon-calon tertentu dalam cabang-cabang PKR belum pernah berlaku dalam mana-mana parti komponen BN.

3. Sekejap tak layak dan sekejap layak bertanding Timbalan Presiden yang berlaku kepada Nurul Izzah juga tidak pernah berlaku dalam sejarah BN atau mana-mana parti politik di Malaysia.

4. Dalam masa yang sama timbul pula pengakuan mengejut Rahimi Osman dan Rasid Rosdi yang dipaksa membuat Akuan Bersumpah mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes liwat Ketua Umum dengan pegawai peribadi.

Ditambah pula tindakan ala gengster ahli PKR yang cuba menghalang Rahimi dari mengamalkan budaya kebebasan akhbar dan amalan kebebasan bersuara seperti yang kononnya menjadi budaya kebanggaan pemimpin dan ahli PKR.

5. Budaya kronisma dan nepotisma yang paling dibenci oleh Anwar Ibrahim sehingga kononnya memaksa dia menentang bosnya sendiri suatu ketika dulu (Mantan PM Tun Mahathir), akhirnya telah menjadi budaya yang boleh diterima pakai di dalam PKR.

Bapa jadi Ketua Umum, Ibu jadi Presiden dan anak jadi Naib Presiden tidak menjadi masalah dalam PKR. Kalau perkara ini benar-benar berlaku selepas mesyuarat agung PKR bulan November nanti dan selepas PRU 13 nanti mereka dapat pula memerintah negara, secara hairakinya anak-beranak inilah yang akan menjadi pemimpin utama negara.

6. Sikap rasis yang kononnya dibawa oleh para pemimpin UMNO dan paling dibenci oleh PKR, kini telah menjadi amalan Azmin Ali yang menggelar Gobalakrisnan ‘Pariah’.

7. Terbaru AMK Pulau Pinang dan Perak menghantar memo dan mendesak Ketua Umum PKR meletak jawatan dan bertaubat.

Banyak lagi isu-isu besar yang melanda PKR yang tak mampu dituliskan di sini kerana jika ditulis artikel ini akan jadi panjang berjela.

Apa yang ingin disebut di sini ialah perbezaan ketara ibarat langit dan bumi antara ucapan para pemimpin PKR dengan apa yang sebenarnya berlaku dan terjadi dalam PKR.

Telinga rakyat hampir tersumbat gara-gara kepetahan dan kemulusan kata-kata mereka, khasnya kata-kata dari Ketua Umum yang tak mahu kalah.

Hari-hari telinga rakyat disumbatkan dengan kenyataan betapa PKR mahukan ketelusan dan bencikan sikap kerajaan BN yang tidak telus. Tetapi akhirnya keputusan mesyuarat cabang PKR langsung tiada ketelusan.

PKR mahu menjadi sebuah kerajaan yang bersih dari sebarang budaya kronisma dan nepotisma. Bagi Ketua Umum PKR tindakan jelek seperti itu hanya dilakukan oleh pemimpin UMNO. Akhirnya nepotisma dijadikan rukun dalam PKR dan tiada masalah kalau anak-beranak memerintah sesama sendiri.

PKR mahu menjadi kerajaan yang bersih dan bebas rasuah kerana rasuah itu hanya menjadi milik UMNO dan gerombolannya. Akhirnya bukan saja rasuah, malah Akuan bersumpah pun direkacipta dan dipaksa tandatangan.

Mereka menipu dan mempermainkan undang-undang negara sehingga Majlis Peguam pun tidak tahu untuk bertindak kepada Ahlinya yang menyelewengkan undang-undang dan etika guaman.

Bagi PKR, rasis tidak ada tempat dalam dunia yang menjurus kepada kesamarataan. Rasis hanyalah budaya sempit ciptaan UMNO dan alat PERKASA untuk membenci kaum-kaum lain di negara ini.

Akhirnya, apabila pemimpin Melayu dalam PKR kalah kepada kaum India dalam mesyuarat cabang baru timbul pemikiran ala rasis yang tidak berpuas hati kerana kaum India sudah memimpin kaum Melayu di banyak cabang PKR.

Inilah antara kecelaruan besar yang wujud di dalam kepimpinan PKR hari ini.

Sekarang semuanya sudah terlondeh dan segala kudis buta yang membatik di punggung sudah jelas kelihatan.

Anwar sedang ligat mencari kain di sana sini untuk menutup punggung yang berbatik-batik dengan kudis buta. Tidak dapat kain di Malaysia, sanggup pergi ke Indonesia sambil memuji-muji batik Indonesia lebih baik dan berkualiti dari batik Malaysia.

Kerajaan Malaysia begitu bobrok, bersikap angkuh dan merendah-rendahkan bapak-bapak di Indonesia. Kerajaan Malaysia menindas dan memeras pekerja Indonesia. Segala-gala kebobrokan kerajaan Malaysia ini akan dirongkai dan hubungan Malaysia dan Indonesia akan kembali pulih sebaik saja Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Anwar bisa saja terus merepek dan merepek. Semoga lebih banyak Anwar merepek akan semakin cepatlah petunjuk tuhan datang untuk memperbetulkan segala haru-biru yang selama ini direncana oleh Ketua Umum PKR ini.

Anwar selalu membaca ayat suci al Quran yang bermaksud…Manusia merancang tetapi Allah juga merancang, maka perancangan Allah sudah pasti lebih baik. Sesungguhnya allahlah sebaik-baik perancang… Lebih kuranglah maksudnya….Ana tak pandai.

Kamarulzaman Kamdias

Lagi Berita