UMNO Bawa Malaysia Ke Peringkat Global

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin memberitahu, UMNO telah membuktikan bahawa ia merupakan parti tunjang kerajaan Barisan Nasional membawa Malaysia ke peringkat global dan telah banyak memberi sumbangan, bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga bangsa-bangsa lain.

Katanya, kerana UMNO, Malaysia hari ini dikenali sebagai sebuah negara global yang dinamik dengan landskap fizikal dan persekitarannya berubah keseluruhan berbanding dekad-dekad yang lalu.

“Malaysia hari ini mempunyai tenaga kerja berpendidikan paling tinggi di dunia; tenaga kerja kita dicari oleh syarikat besar di seluruh dunia; kita dihormati pentas global, hidup harmoni dalam pelbagai etnik dalam satu masyarakat dan budaya,” katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian ketika merasmikan forum antarabangsa mengenai “Pembentukan Warga Global : Liberalisasi Media dan Reliati Baru Politik” di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam membincangkan tema tersebut, Muhyiddin berkata, untuk menghadapi dunia global yang semakin mencabar, rakyat memerlukan akses yang lebih cepat dan pantas.

“Sebagai rakyat Malaysia yang berfikiran global, kita harus peka terhadap apa yang berlaku di peringkat antarabangsa. Kita perlukan akses langsung menerusi idea terbaik dari seluruh dunia supaya kita dapat mengaplikasikan idea ini di negara sendiri,” katanya.

“Sebagai rakyat Malaysia yang berfikiran global, kita harus peka terhadap apa yang berlaku di peringkat antarabangsa. Kita perlukan akses langsung menerusi idea terbaik dari seluruh dunia supaya kita dapat mengaplikasikan idea ini di negara sendiri,” katanya.

Beliau berkata, rakyat harus mengawal dan mengurus semua isu, daripada yang berkaitan dengan senjata pemusnah besar-besaran, langkah mengklon manusia dan makanan yang dihasilkan secara genetik, kesihatan, wabak baru, pendidikan, peranan media global, sehingga kepada kemerosotan mutu alam sekitar, pencemaran dan perubahan cuaca.

Selain itu, beliau melihat media merupakan saluran utama bagi mendapatkan idea dan maklumat, malahan ia telah menjadi sebahagian daripada ciri untuk rakyat Malaysia menjadi warga global.

“Namun, saya perlu tegaskan bahawa walaupun langkah meliberalisasi media adalah baik untuk meningkatkan kesedaran kita terhadap apa yang berlaku di peringkat global, kita tidak harus lupa bahawa kebebasan akhbar bukannya satu ruang untuk kita lakukan apa saja yang kita suka,” katanya.

Dalam hal ini, Muhyiddin yakin media di Malaysia faham tentang apa yang dimaksudkan dengan akhbar yang bebas, adil dan bertanggungjawab walaupun senario dalam media pada masa ini sudah berubah.

“Saluran baru seperti laman web (media alternatif) membolehkan rakyat seperti anda dan saya berkongsi cerita dan pendapat dengan orang lain di dunia ini. Tetapi setiap daripada kita harus bertanggungjawab mencari ruang yang sama untuk berkongsi idea dan aspirasi kita,” ujarnya.

Forum tersebut mengetengahkan seramai 500 orang peserta terdiri dari kedutaan asing yang berada dalam negara, ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, barisan exco pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta setiausaha politik dan setiausaha akhbar parti-parti komponen Barisan Nasional.

Dalam masa yang sama, Kelab UMNO Luar Negara, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi pengajian tinggi tempatan dan swasta serta badan bukan kerajaan juga turut hadir bagi membincangkan isu global tersebut. – MediaUMNO

Lagi Berita