Usaha Damping Rakyat Tidak Bermusim

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Usaha mendampingi rakyat oleh Pergerakan Wanita UMNO ketika ini akan dilakukan secara berterusan dan bukannya secara bermusim.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, langkah itu perlu supaya ikatan antara UMNO dan rakyat tidak terputus dan sekali gus menjamin sokongan mereka terhadap parti itu.

Atas asas itu juga beliau berkata, Wanita UMNO akan menggerakkan jentera pergerakan itu ke kawasan-kawasan ‘mencabar’ yang kini dikuasai pembangkang.

“Jentera parti di seluruh negara dipertanggungjawabkan untuk mendampingi rakyat dari pelbagai kaum termasuk negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

“Daripada maklum balas yang diterima, ramai penduduk memerlukan bantuan kebajikan dan kita akan membantu dengan sentuhan kasih sayang melakukan kerja-kerja kebajikan yang konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Skuad Sayang 1Malaysia di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang dekat sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Sementara itu, pada sidang akhbarnya, Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, perjalanan program serta aktiviti Skuad Sayang Wanita UMNO adalah berlandaskan kepada tiga elemen penting iaitu berdisiplin, integriti dan konsisten,

”Objektif utama skuad ini adalah untuk membantu rakyat dan menjaga kepentingan rakyat termasuk di negeri-negeri yang yang dikuasai pembangkang. Kita mahu nasib mereka lebih terbela ekoran kegagalan pihak pembangkang menjaga kebajikan mereka.

”Kita sedar sejak berakhirnya tsunami politik 2008 penduduk di kawasan dikuasai pembangkang mula terabai dan atas faktor ini Wanita berpendapat rakyat di kawasan tersebut perlu diberi bantuan,” katanya lagi.

Lagi Berita