Enam Rumusan Forum Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 19 Okt. – Enam rumusan berjaya dibuat dalam forum antarabangsa yang berlangsung julung kalinya sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 dengan tema ‘Pembentukan Warga Global: Liberalisasi Media dan Realiti Baru Politik’ yang berakhir hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar yang membuat rumusan dalam ucapan akhirnya selepas dua hari berkampung memberitahu rumusan tersebut iaitu:

1. Proses globalisasi itu boleh dijayakan dan ia mesti dibenarkan berkembang. Kerumitannya mesti difahami supaya masyarakat boleh menerima dan menggunakan serta melakukan penyesuaian secara tuntas kepada realiti baru ini.

2. Liberalisasi media tidak dapat dielakkan. Ia adalah bagaimana kita menghadapi dan menanganinya.

3. Mahukan order baru dunia yang lebih adil dan saksama serta dapat memudahkan interaksi sosio-ekonomi dan politik pelbagai hala antara negara-negara membangun dan maju.

4. Semua idea atau sistem tidak sepatutnya dikenakan terhadap mana-mana individu atau negara. Apa jua isu perbezaan yang berlaku, perlu diselesaikan secara rundingan ke arah penyelesaian damai, dan bukannya menggunakan sebarang bentuk pencerobohan atau keganasan.

5. Satu formula sahaja tidak boleh digunakan untuk menyelesaikan semua masalah kerana setiap negara mempunyai keperluan sendiri berasaskan kepada keadaan masing-masing.

6. Setiap individu mesti melaksanakan hak dengan pemikiran jelas tentang tanggungjawab dan bukan hanya dengan satu perbicaraan yang berat sebelah. – MediaUMNO

Lagi Berita