Jangan Terperangkap Muslihat Anwar

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Rakyat tidak harus terperangkap dengan muslihat terbaru Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan Bajet 2011 sebagai bajet pilihan raya umum.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Ezam Mohamad Noor berkata, Anwar bertindak demikian bagi mengalih perhatian berikutan keadaan di dalam PKR yang semakin huru-hara.

‘‘Selain itu, beliau juga semakin terdesak memandangkan kes perbicaraan liwat yang dihadapinya semakin membongkar kebenaran.

‘‘Justeru beliau guna taktik usang alih perhatian penyokong dan rakyat dengan kisah kononnya pilihan raya umum semakin hampir,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Ezam berkata, motif Anwar mencetuskan kononnya bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu sebagai bajet pilihan raya supaya ahli-ahli PKR memfokuskan perhatian mereka kepada pilihan raya umum.

‘‘Sebenarnya Anwar mahu mengalihkan perhatian ahli-ahli PKR yang semakin meluat dengan kepincangan pemilihan parti itu baru-baru ini,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat tidak akan terperangkap dengan taktik alih isu oleh Anwar yang semakin tertekan.

‘‘Fokus harus terus diberikan kepada pembinaan negara melalui bajet dan kepada perbicaraan kes liwat Anwar yang mula menampilkan kebenaran dan kepalsuan beliau selama ini,’’ katanya.

Lagi Berita