Fahami Lanskap Politik Semasa

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Pemimpin dan ahli UMNO perlu menyedari landskap politik semasa tanah air yang semakin mencabar dan memerlukan mereka bersatu demi kelangsungan parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ingatan itu merupakan antara perkara yang disampaikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 itu.

Menurut beliau, sehubungan itu perjuangan parti perlu difahami dengan pemikiran yang waras dan kegagalan memahaminya akan membuatkan rakyat bertindak mengetepikan parti.

‘‘Presiden parti juga mengingatkan semua ahli agar bersatu dan merapatkan barisan.

‘‘Kebimbangan beliau cuma satu iaitu mengenai mereka yang tidak memahami perjuangan parti dengan pemikiran yang waras,’’ katanya ketika ditemui selepas sesi Taklimat Presiden itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shafie, selain isu perpaduan parti dan perjuangan, Najib yang juga Perdana Menteri turut memberi peringatan tentang pelbagai tindakan yang dilakukan oleh pakatan pembangkang sejak akhir-akhir ini.

‘‘Tindakan mereka antara lain adalah mengenai usaha menidakkan kedudukan bangsa Melayu dan menghakis kedudukan agama Islam.

‘‘Justeru, perhimpunan kali ini amat penting, bukan sahaja untuk UMNO tetapi kepentingan negara secara keseluruhannya,’’ tambah beliau.

Lagi Berita