Khairy Ajak Pemuda Kikis 10 Ciri Negatif

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin mengajak seluruh ahli agar mengikis 10 ciri negatif bagi memastikan pergerakan itu terus dihormati oleh segenap lapisan rakyat.

Menurut beliau antara ciri-ciri tersebut ialah sikap elitis dan egois, budaya syok sendiri, budaya kad perakam waktu iaitu daftar masuk dan keluar, budaya sate, budaya baling batu sembunyi tangan, Pemuda “interframe“, budaya “Yes man“, talam dua muka, budaya kerat mengerat dan budaya seronok tengok orang lain kena hentam.

“Sikap suka melihat dan mengambil kesempatan dengan turut sama melontarkan kritikan ketika anggota parti dikritik lawan perlu dikikis dalam UMNO.

“Sikap tidak bertanggungjawab itu perlu dikikis dan dielak dari dijadikan amalan oleh anggota parti kerana perbuatan tersebut tidak selaras dengan model politik baru yang ingin diperkenalkan parti.

“Kita perlu ada tanggungjawab bersama, bukan suka tengok orang lain kena hentam. Kalau pembangkang, sekiranya ada orang dalam parti mereka kena serang, mereka akan pertahankan tetapi dalam parti kita seolah-olah kurang sedikit,“ katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan perwakilan Pemuda pada perhimpunan agung pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi walaupun 10 ciri berkenaan sudah menjadi kebiasaan tetapi ia perlu sentiasa diingatkan kerana semua ciri-ciri tersebut akan hanya terhakis melalui penonjolan teladan yang baik di kalangan  pemimpin.

“Sekiranya ketua-ketua Pemuda bahagian termasuk saya dapat mengamalkan perkara tersebut dengan politik ikhlas dan jujur, saya rasa perkara ini dapat dielakkan, cuma saya perlu ingatkan banyak kali kerana perkara ini telah jadi kelaziman pada mana-mana parti politik,” katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita