Pemimpin DiSukai Rakyat, Berpotensi Menang Calon Pilihan Raya – Zahid

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Ahli UMNO diingatkan supaya sentiasa dekat dan menjuarai permasalahan rakyat kerana hanya pemimpin yang disukai serta mempunyai potensi menang akan dipilih mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ingatan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sesi taklimat tertutup sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

“Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO menjelaskan, parti hanya akan memberi peluang kepada pemimpin yang disukai oleh rakyat dan mempunyai potensi untuk menang sahaja sebagai calon UMNO pada masa hadapan.

“Maknanya, mana-mana pemimpin yang berasakan dirinya boleh menang boleh memohon minta dicalonkan, tetapi kita hanya memilih calon yang boleh memberi kemenangan kepada parti,” katanya ketika diminta mengulas mengenai intipati Taklimat Presiden di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri juga menekankan supaya semua ahli parti sama ada di peringkat akar umbi mahu pun kepimpinan tertinggi memberi tumpuan khusus kepada program kemelayuan.

Menurutnya, Najib mahu UMNO sentiasa menjuarai isu-isu Melayu supaya parti teras dalam Barisan Nasional (BN) itu tidak dianggap sebagai meminggir agenda Melayu tetapi menegaskan pendekatan tersebut harus disesuaikan dengan senario sekarang.

“Kita harus menjuarai isu-isu Melayu kerana UMNO ini dibentuk demi orang Melayu, kita mahu rakyat sedar bahawa UMNO parti yang menjadi payung kepada Melayu tetapi ia harus dilaksanakan tanpa mengetepikan hak kaum lain.

“Ini kerana dalam sebuah negara demokrasi, kita harus memberi keadilan kepada semua kumpulan masyarakat walaupun teras perjuangan UMNO adalah Melayu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menambah, Perdana Menteri juga meminta supaya semua ahli UMNO melakukan muhasabah diri masing-masing dan bukannya saling berbalah sesama sendiri kerana ia tidak membantu memperkukuhkan parti.

Kata beliau, semua ahli UMNO perlu bersedia untuk menjayakan perubahan sama ada secara dalaman mahu pun luaran bagi memastikan parti itu sentiasa relevan.

Lagi Berita