Program Juara Rakyat Bukti UMNO Tidak Lesu

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Sebanyak 1,000 program Juara Rakyat anjuran Umno dilaksanakan di seluruh negara sejak Januari lepas, sekaligus menolak dakwaan segelintir pihak kononnya bahagian Umno kini lesu.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata program yang mendapat sambutan baik daripada rakyat itu dilaksanakan oleh seluruh 191 Umno bahagian dengan purata 100 program sebulan.

“Ini jawapan kepada tuduhan Umno lesu. Umno tak lesu, cuma publisitinya kurang. Bahagian-bahagian Umno (sentiasa) bergerak,” katanya kepada pemberita di pusat media di Pusat Dagangan Dunia Putra PWTC), sempena Perhimpunan Agung Umno 2010 di sini hari ini.

Beliau berkata program Juara Rakyat yang dilancarkan Januari lepas akan sentiasa ditambah baik, dan menurutnya ia terbukti apabila kini program Ceramah Juara Rakyat pula dilancarkan sempena majlis taklimat presiden parti semalam.

“Maknanya jika sebelah siang program Juara Rakyat, pada sebelah malam pula diadakan Ceramah Juara Rakyat,” katanya.

Ahmad berkata bagi program Ceramah Juara Rakyat, penceramah terdiri daripada kalangan anggota Majlis Tertinggi Umno, menteri, timbalan menteri, anggota exco tiga sayap Umno, anggota parti komponen, bekas pimpinan pembangkang yang
menyertai Umno dan juga kumpulan ulama.

Katanya program ceramah seumpama itu sudah dimulakan di beberapa tempat sejak bulan lepas dan program itu biasaya diadakan dikawasan yang belum ditawan Umno, selaras dengan permintaan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ia merupakan satu-satunya program yang diberikan peruntukan oleh Umno pusat, dan antara tema yang dipilih bagi program itu ialah pendidikan, kebajikan belia dan sukan, kerohanian, pertanian, perpaduan dan 1Malaysia.

Katanya setiap anggota Majlis Tertinggi menjadi bapa angkat bagi empat atau lima bahagian di dalam program ini.

Juara Rakyat melibatkan program-program interaktif bersama rakyat yang bertujuan membolehkan pemimpin mendapatkan maklumat dan mendengar sendiri masalah rakyat.

Lagi Berita