UiTM Hantar 50 Pelajar Tajaan Ke Universiti Terkenal Dunia

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menaja 50 penuntutnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang di beberapa universiti terkenal dunia dalam usaha melahirkan lebih ramai golongan profesional.

Naib Canselornya Datuk Prof Sahol Hamid Abu Bakar berkata usaha itu penting bagi meletakkan universiti itu di mata dunia sekaligus meneruskan perjuangan anggota Umno terdahulu yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan universiti dan pendidikan Bumiputera.

“Kita telah kenal pasti 50 pelajar kumpulan pertama untuk dihantar ke luar negara September tahun depan. Mereka perlulah melepasi ujian aptitud yang bakal menguji jati diri Melayu dan semangat cintakan negara,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri ucapan dasar Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada perhimpunan agung pergerakan itu di sini hari ini.

Sahol Hamid merupakan Naib Canselor pertama, yang dipilih untuk ucapannya disiarkan dalam tayangan klip video Anugerah Nadi Negara kali kedua diadakan, bersempena perhimpunan agung Wanita Umno dalam usaha sayap itu menaikkan semangat anggota mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

Sahol Hamid berkata UiTM komited untuk menyahut cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan universiti itu mencapai sasaran seramai 250,000 enrolmen pelajar menjelang 2015.

UiTM kini mempunyai sejumlah 170,000 penuntut di kampus-kampus seluruh negara.

“Selain itu, sebanyak 12 kampus baru akan dibuka dan 200 kursus baru diperkenalkan secara berperingkat berdasarkan keperluan industri masa kini,” katanya.

Terdahulu, Shahrizat menyampaikan anugerah Nadi Negara kepada 16 wanita lulusan institusi pengajian tinggi tempatan yang cemerlang daripada segi aspek pendidikan dan kepimpinan.

Pengerusi Biro Pengajian Tinggi Wanita Umno Norliza Abdul Rahim berkata anugerah yang diadakan kali kedua ini adalah selaras dengan usaha pergerakan itu untuk melatih bakal-bakal pemimpin pada masa depan.

Katanya pergerakan itu akan menimbangkan cadangan untuk membuka anugerah itu kepada kaum lain tahun depan.

Lagi Berita