Wakil DPJ Jepun Terkejut PM Aktif Guna Laman Sosial Dekati Rakyat

KUALA LUMPUR, 20 Okt –  Wakil delegasi dari Parti Demokratik Jepun (DPJ), Kotaro Tamura bukan sahaja terkejut malah menganggap sebagai sesuatu yang cukup unik dan effisien apabila diberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak begitu aktif menggunakan laman sosial untuk berinteraksi dengan rakyat.

Jelasnya penggunaan media baru seperti laman blog, facebook dan twitter merupakan satu pendekatan terbaik sebagai saluran yang membolehkan pemimpin lebih memahami kehendak rakyat.

Malah beliau mengakui pendekatan ini belum lagi digunakan pemimpin di Jepun khususnya perdana menteri di negara tersebut.

“Apa yang lebih menkagumkan saya ialah apabila Perdana Menteri anda turut mengadakan pertemuan dengan rakan laman sosial untuk bertukar-tukar pandangan tanpa sebarang sekatan.

“Ini akan membuatkan rakyat lebih dekat dengan pemimpin parti anda dan memudahkan pemimpin anda memahami apa kehendak mereka”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat UMNO di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi apa yang berlaku kepada Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun seharunya menjadi iktibar kepada UMNO khususnya Barisan Nasional (BN).

Katanya walaupun LDP merupakan parti yang tertua, berpengalaman dan banyak berjasa namun parti itu tewas dalam pilihanraya baru-baru ini kerana gagal memahami kehendak rakyat.

“Dalam hal ini rakyat mesti diutamakan berbanding kehendak ahli parti.  Kegagalan memahami suara rakyat akan membawa bencana kepada parti”, ujarnya.

Justeru beliau percaya dengan pelbagai perubahan yang dilakukan UMNO termasuk memanfatkan media baru mampu memberi kelebihan kepada UMNO untuk meraih sokongan rakyat.

Sebelum itu ketika menerima kunjungan Kotaro, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menerangkan bahawa UMNO kini sedang melakukan transformasi politik.

Jelas Tengku Adnan persepsi negatif yang dilemparkan pembangkang perlu ditangkis.

“Mereka melabelkan UMNO tidak demokratik, nepotisme, eksklusif dan sebagainya.  Kita akan tangkis persepsi negatif itu dengan melakukan pelbagai tarnsformasi”, ujarnya.

Selain akan memberi peluang kepada lebih ramai ahli terlibat dalam proses pemilihan majlis tertinggi parti, UMNO juga akan mengadakan program yang mendekati rakyat.

“Selain itu UMNO juga akan menampilkan calon yang boleh menang dan popular di kalangan rakyat.  Tidak kiralah calon itu tua atau muda, yang penting parti boleh menang”, katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita