2,543 Ahli UMNO Sertai Persidangan

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan seramai 2,543 ahli UMNO menghadiri persidangan Perhimpunan Agung UMNO yang julung kali berlangsung selepas pindaan Perlembagaan UMNO tahun lalu.

Katanya, segala persiapan bagi menjayakan Perhimpunan Agung berlangsung lancar dalam semua peringkat yang bermula dari cawangan dan bahagian termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri sebagaimana tuntutan dalam Peraturan Persidangan dan Perlembagaan UMNO.

“Keseluruhan cawangan yang layak mengadakan persidangan tahunannya juga telah menyempurnakan tanggungjawab tersebut sebagaimana yang telah ditetapkan oleh parti,” katanya ketika membentangkan laporan parti sebelum bermulanya Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam masa yang sama beliau juga turut melaporkan bahawa UMNO turut memainkan peranan dalam menyertai media baru yang baru.

“Peranan media baru yang baru atau the new, new media turut diselami melalui pengaktifan facebook.com/mediaumnomalaysia, twitter.com/umnoonline selain penyebarluasan paparan dalam laman web rasmi parti, umno-online.com. Alhamdulillah, kita berjaya mendapat tindakbalas memberangsangkan khususnya dalam wawancara eksklusif dan karikatur,” katanya.

Beliau turut memberi tahu UMNO turut melaksakan gerakan secara menyeluruh atas tujuan mendaftarkan ahli-ahli UMNO sebagai pemilih lantas memastikan mereka dapat menunaikan tanggungjawab menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

“UMNO perlu terus kukuh dan kerana itu Ibu Pejabat telah pun mengambil tindakan dengan meminta semua UMNO di peringkat cawangan dan bahagian melaksanakan pemutihan keahlian masing-masing dengan kaedah kemaskini ahli-ahli UMNO dibuat dengan telus supaya senarai yang ada merupakan yang sahih dan terkini.”

Sehingga 20 Oktober, Tengku Adnan melaporkan bahawa kedudukan keahlian UMNO yang dicatat ialah 3,578,925 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 20,342.

Sehubungan itu, Negeri Johor mencatatkan bilangan ahli teramai iaitu seramai 493,495 orang manakala Bahagian yang mencatat bilangan ahli tertinggi masih lagi Kemaman, Terengganu dengan ahlinya bertambah kepada 42,455 dan Cawangan yang memiliki bilangan ahli tertinggi juga masih lagi Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor. jumlah permohonan yang diterima adalah 13,674.

Perhimpunan Agung UMNO 2010 ini adalah yang pertama dibuat selepas kita mengadakan persidangan khas pada Oktober 2009 lalu iaitu meminda perlembagaan parti. Pindaan Perlembagaan ini telah pun mendapat kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 10 November 2009 yang lalu. -MediaUMNO

Lagi Berita