Fahami Gagasan 1Malaysia, Hormati Kontrak Sosial, Membina Melayu Abad 21

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menyimpulkan ucapan dasar Presiden kepada tiga perkara pokok iaitu perpaduan menerusi Gagasan 1Malaysia, pemuafakatan murni dalam Kontrak Sosial dan Melayu di abad 21.

Jelasnya Presiden  UMNO dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO pagi tadi menyatakan bahawa Gagasan 1Malaysia adalah himpunan ilham pimpinan terdahulu yang meletakkan perpaduan sebagai agenda utama.

Kontrak sosial pula tambah beliau sebenarnya adalah permuafakatan murni antara kaum yang telah selesai sebagai tunggak perlembagaan.

“…..ia tidak boleh diubah walau senoktah tanpa persetujuan Majlis Raja-raja Melayu walaupun diusahakan oleh sokongan 2/3 majoriti ahli Dewan Rakyat”, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Tegas beliau lagi ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bertema “Mendaya Bangsa, Menerajui Kemakmuran”, itu juga dengan penuh semangat meminta semua ahli UMNO agar mempertahankan Putrajaya daripada cubaan ditawan pembangkang.

“Dalam pada usaha yang pelbagai telah dilaksanakan kerajaan, kita mesti terus membina Melayu Abad Ke 21 iaitu bangsa yang terbaik dalam pelbagai bidang dan berjaya di arena global”, ujarnya. -MediaUMNO

Lagi Berita