Lakukan Transformasi Minda, Sikap Jika Ingin UMNO Kekal

KUALA LUMPUR 21 Okt – Umno Pahang mengajak seluruh anggota parti melakukan transformasi minda serta sikap bagi memastikan parti Melayu itu terus unggul, maju dan berkekalan.

Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata ia selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu setiap anggota masyarakat menerima dan melakukan transformasi dalam merealisasikan matlamat mencapai negara maju.

Bagi mencapai matlamat itu, Syed Ibrahim berkata seluruh anggota parti perlu meningkatkan ilmu pengetahuan kerana ia merupakan kunci kepada proses transformasi.

“Ketika zaman Rasulullah s.a.w banyak perubahan yang baginda buat. Di Mekah sendiri sebelum pindah ke Madinah, perubahan demi perubahan Rasulullah buat dan sebab itu, kita patut sokong transformasi kerana zaman Rasulullah pun sudah banyak perubahan dibuat,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2010 yang bermula di sini hari ini.

Beliau berkata transformasi minda serta sikap itu, bukan hanya tertumpu peringkat bawahan tetapi juga merangkumi pemimpin kerana mereka merupakan perancang strategi dalam memastikan kelangsungan parti itu terus diterima ramai.

Lagi Berita