Pemuda Anggap Ucapan Dasar Presiden Sebagai Berani, Progresif

KUALA LUMPUR 21 Okt – Pemuda UMNO menyifatkan ucapan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan dasarnya  pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 sebagai satu ucapan yang progsesif dan berani.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, ucapan dasar berkenaan begitu mendalam maknanya yang telah meliputi segala isu yang menjadi kepentingan dan kebimbangan rakyat Malaysia pada hari ini.

“Bagi orang Melayu, Presiden telah memberi jaminan bahawa UMNO akan terus memelihara dan memperjuangkan bangsa Melayu dan UMNO  satu-satunya landasan yang akan memastikan bahawa orang Melayu dapat dimartabatkan.

“Bagi orang bukan Melayu dan bukan Bumiputera, Presiden telah memberi jaminan bahawa Malaysia adalah negara untuk kita semua dan kerajaan BN adalah kerajaan yang adil dan akan memelihara hak dan aspirasi kaum bukan Bumiputera dan bukan Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2010 oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, PWTC di sini, hari ini.

Khairy seterusnya menambah pada masa yang sama apa yang penting sekali mesejnya adalah cabaran kepada orang Melayu itu sendiri dan bumiputera.

“Mesejnya jelas bahawa kita perlu berjaya dipersada antarabangsa dan tidak terlalu dipengaruhi dengan perjuangan untuk mempertahankan hak semata-mata, kuota semata-mata, Malaysian semata-mata sekiranya semua ini tidak dapat dimanfaatkan dan digunakan untuk menjaya dan untuk kita mencapai kejayaan.

“Oleh sebab itu saya anggap ucapan ini satu ucapan yang amat progresif  dan memandang ke hadapan untuk memberi ransangan kepada bangsa Melayu dan Bumiputera bahawa sekiranya kita mahu mencapai kejayaan kita kena keluar daripada kepompong lama dan berani untuk berdepan dengan segala cabaran tanpa rasa takut dan ragu-ragu.

“Sebab itu Presiden beri jaminan bahawa segala hak dan kepentingan dan kedudukan istimewa Bumiputera sebenarnya tidak boleh dicabar dengan mudah. Ianya perlu pindaaan melalui restu dan melalui izin Majlis Raja-Raja dan tidak ada mana-mana pihak yang boleh rampas hak serta  kedudukan orang Melayu,” ujarnya.

Justeru tegas beliau soal hak dan kedudukan perlu diketepikan dan melihat kepada apa yang boleh dibuat.

”Usaha kita samada kita berdikari, sama ada kita jujur samaada kita ada kebolehan dan keupayaan dariapada segi merit untuk berjaya pada masa akan datang.

“Jadi kesimpulannya satu ucapan yang jauh memandang ke hadapan, yang memberi jaminan kepada bangsa Melayu bahawa tidak ada apa yang perlu ditakuti, dikhuatiri oleh mereka dan kepada bangsa bukan Bumiputera bahawa negara ini adalah negara kita semua dan kita akan jaga keadilan dan kebajikan untuk semua,” katanya.

Beliau seterusnya berharap agar ucapan berkenaan tidak disalah anggap kerana Datuk Seri Najib telah memberikan jaminan hak kaum Melayu dan bukan Bumiputera dijamin serta dipelihara.

“Presiden  beritahu kaum Melayu dan bukan Melayu jangan risau sebab hak masing-masing dipelihara dan pada masa yang sama beliau cabar kedua-dua pihak semua rakyat Malaysia, satunya untuk menjaga keamanan.

“Soal menjaga keamanan adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya orang Melayu tetapi juga orang bukan Melayu juga.  Sekiranya tidak,  kosnya adalah begitu tinggi iaitu masayarakat majmuk yang kita pelihara selama ini akan hancur.

“Keduanya ‘daring’ dari segi memberikan cabaran kepada orang Melayu untuk keluar daripada kotak yang biasa dan untuk jangan hanya cakap soal hak dan juga keistimewaan tetapi bersaing untuk jadi bangsa yang berjaya di peringkat global,” ujarnya. -MediaUMNO

Lagi Berita