Berpasak Pada UMNO, Pertahan Panji-Panji BN – Najib

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak membakar semangat para perwakilan apabila menyeru seluruh bangsa Melayu khususnya ahli-ahli UMNO terus mempertahankan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa membela untung nasib semua.

Katanya, UMNO bukanlah sebarang parti tetapi telah matang berdepan cabaran sejak penubuhannya 64 tahun yang lalu.

“Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji BN. Walau berkecai tulang dan juga badan… walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan,” kata dalam ucapan perasmian di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji BN. Walau berkecai tulang dan juga badan… walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan,” kata dalam ucapan perasmian di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Ayuh… Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi…Jangankan ribut, taufan pun mesti kita harungi…Jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi…Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi…,” laung Najib yang disambut oleh para perwakilan dengan sorakan semangat perjuangan.

Dalam ucapan bertema “Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran”, Najib yang juga Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa perjuangan UMNO adalah perjuangan seluruh bangsa Malaysia.

“UMNO perlu melalui tiga fasa iaitu pertama, mengakui kelemahan dan masalah yang dihadapi; kedua, melakukan muhasabah dan mencari penawar bagi memperbaiki kekurangan; dan ketiga, memulakan gerak kerja.”

Justeru katanya, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban kerana sebarang perancangan untuk perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya jika tidak didukung oleh semua pihak.

“Jangan kita lupa, parti inilah yang berperanan merubah orang Melayu daripada bangsa yang tidak berkesedaran politik sebelum Perang Dunia Kedua kepada bangsa yang mampu merebut kemerdekaan dengan siasah hujung lidah menundukkan kuasa besar dunia iaitu pihak British,” katanya.

Dalam ucapan ini, Najib turut menyentuh soal kontrak sosial yang menjadi teras perpaduan negara dan meminta semua pihak agar menghormati persepakatan mulia itu kerana “itulah kunci kepada kelangsungan dan survival kebangsaan”.

“Kepercayaan yang berterusan diberi oleh kaum-kaum lain sewajibnya menjadi perangsang agar orang Melayu sentiasa memperbaiki diri dan terkedepan sebagai pemudah cara antara kaum.

“Landasan baru perhubungan kaum di Malaysia harus dibina dengan mengambil kira dua prinsip penting iaitu masa depan yang dikongsi bersama dan mengambil kira faktor sejarah tanpa mengetepikan realiti hari ini serta potensi masa depan.”

Najib juga menegaskan bahawa UMNO lahir daripada suara hati dan aspirasi orang Melayu apabila beliau menyorot kembali sejarah yang telah tertulis.

“UMNO telah dilanda rentetan dugaan yang besar. Tahun 1951, Presiden dan Pengasas UMNO telah meninggalkan parti. Kemudiannya, PAS telah ditubuhkan oleh salah seorang calon Presiden yang tewas kepada Almarhum Tunku dalam pertandingan menggantikan Dato’ Onn sebagai pemimpin baru UMNO,” katanya.

Terangnya lagi, pada 1969 UMNO dan rakan parti lain hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, 1987 UMNO berpecah dua sebelum diisytiharkan haram pada 1988, dan pada 2008 dilanda tsunami politik.

Bagaimanapun, katanya UMNO sentiasa berjaya bangkit semula daripada semua dugaan tersebut kerana anggota dan pemimpinnya terus “berpijak di bumi nyata dan tidak pernah sedetik pun pudar keyakinan terhadap perjuangan benar ini. – MediaUMNO

Lagi Berita