Puteri DiMinta Kekalkan Momentum Perhimpunan Ke Galas, Batu Sapi

KUALA LUMPUR 21 Okt – Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mahu anggota pergerakan itu meneruskan momentum Perhimpunan Agung Umno 2010 pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Katanya semangat anggota Puteri Umno kini memuncak hasil suntikan semangat dan motivasi yang diterima pada Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung sehingga Sabtu ini.

“Apa yang saya harapkan ialah semangat yang kita berjaya naikkan di kalangan (anggota) Puteri tidak terhenti setakat perhimpunan ini sahaja, tapi kita nak bawa semangat ini ke Galas dan Batu Sapi dan seterusnya ke pilihan raya umum
ke-13 nanti,” katanya kepada Bernama ketika melawat pusat operasi Bernama di sini hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pula diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmond Chong Ket Wah daripada Barisan Nasional akibat satu nahas jalan raya pada 9 Okt lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi ditetapkan serentak pada 26 Okt ini dan jika ada pertandingan, hari pengundian adalah pada 4 Nov.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berharap anggota Puteri Umno akan menumpukan kepada pelaksanaan gerak kerja selepas perhimpunan itu.

Lagi Berita