Semua Pihak Perlu Faham, Hayati Perlembagaan – TPM

KUALA LUMPUR 21 Okt – Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan semua pihak memahami serta menghayati semangat Perlembagaan negara, sebagai tepat.

Timbalan Perdana Menteri berkata sekiranya semua pihak memahami dan menerima apa yang termaktub dalam perlembagaan, yang antara lain menjamin hak dan kedudukan orang Melayu serta kaum lain, tidak timbul soal mengapa perkara itu perlu dibangkitkan.

Beliau berkata Umno tidak pernah berbicara soal hak orang Melayu, namun apabila ada pihak-pihak yang membangkitkan soal itu, Umno terpaksa memberikan respons.

“Orang Umno terutama yang dikatakan memperjuangkan orang Melayu mesti memberi penjelasan dan ketegasan supaya kita tidak dilihat apa yang orang kata “bacul”, dan sebagai tidak mempertahankan hak,” katanya dalam persidangan media di Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurutnya Umno, sebagai parti politik terbesar orang Melayu, akan terus memberi penjelasan serta mempertahankan perlembagaan negara bagi menghentikan segala perdebatan yang menyentuh hak dan kedudukan kaum dalam negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan perkara itu sengaja dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang bertujuan meraih undi serta kepentingan politik peribadi.

Beliau juga berkata perkara yang termaktub dalam perlembagaan yang menjamin hak dan kedudukan orang Melayu tidak akan menjamin bangsa itu maju, sebaliknya mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk maju.

“Presiden tadi mengingatkan tentang orang Melayu, walaupun boleh berasa terselamat bersama-sama kaum lain, tetapi orang Melayu tidak boleh mengharapkan hanya dengan ada peruntukan perlembagaan, dia akan jadi maju,” katanya.

Lagi Berita