Setiausaha Agung Puas Hati Persidangan Berjalan Lancar

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berpuas hati dengan perjalanan persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2010 yang dirasmikan oleh Presiden parti pagi ini.

Persidangan yang bermula Selasa lalu, dengan sesi pendaftaran di sebelah pagi dan diikuti Amanat Presiden pada sebelah petang berjalan dengan lancar dan meriah apabila Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bukan sahaja dipenuhi para perwakilan tetapi juga ahli-ahli UMNO dan orang awam turut sama mengikuti persidangan tahunan tersebut.

“Saya berpuas hati dengan perjalanan persidangan termasuklah perhimpunan pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri apatah lagi ketokohan mereka amat terserlah dalam mengemukakan hujah dan pendapat,” katanya kepada umno-online.com.

Katanya lagi, kelancaran dalam setiap agenda yang dilakukan juga amat baik dan membuktikan satu perkembangan positif di kalangan kakitangan dan ahli-ahli UMNO sendiri.

“Saya berharap para perwakilan sama ada dalam perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri termasuklah di Dewan Merdeka hari ini akan dapat berkongsi input dan kemudian mengimplimentasikannya di kawasan masing-masing untuk kekukuhan UMNO,” jelasnya.

Katanya, semangat yang ditunjukkan oleh para perwakilan dan ahli-ahli UMNO hari ini menjadi bukti bahawa UMNO terus teguh dan bersatu hati dalam aspirasi perjuangannya.

“Dengan berkumpulnya kita melalui satu perhimpunan ini dalam suasana aman dan harmoni ini telah menolak dakwaan segelintir pihak yang memandang negatif pada UMNO.”

Beliau turut berharap agar semangat tersebut akan terus tertanam di dalam sanubari ahli-ahli UMNO dan meneruskan perjuangan tanpa mengharapkan imbuhan selain daripada matlamat untuk agama, bangsa dan negara. – MediaUMNO

Lagi Berita