Tiada Masalah Jika Berpegang Kepada Kontrak Sosial – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR 21 Okt – Negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jika rakyat Malaysia berpegang kuat kepada perjanjian asal, yang dipersetujui oleh pemimpin daripada pelbagai kaum sewaktu merdeka dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak akan ada pertikaian hak.

“Kita telah mempunyai satu formula yang berjalan dengan baik selama 50 tahun. Mengapakah kita mahu menukarnya? Mengapakah anda mahu menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian
Perhimpunan Agung Umno ke-61 oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai ucapan perasmian Najib yang antara lain berkata kedudukan dan hak-hak Melayu dilindungi sepenuhnya serta “terkunci kemas” dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat lagi dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum negara ini.

Najib berkata asas berkenaan adalah kontrak yang dimuafakati oleh bapa-bapa pengasas mewakili semua kaum ketika negara di ambang kemerdekaan.

Dr Mahathir, bekas perdana menteri keempat negara, berkata ucapan Najib itu tepat pada masanya bagi menjelaskan dan memperingati perjanjian yang sekian lama didokong antara pelbagai kaum dalam negara ini.

Dr Mahathir, yang turut menyifatkan isi kandungan ucapan Presiden Umno itu baik, berkata adalah penting bagi rakyat patuh kepada perkara-perkara dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diubah tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Dr Mahathir berkata mereka yang cuba meminda Perlembagaan Persekutuan sebenarnya tidak faham mengenai isi andungannya.

Malahan sejak dahulu lagi, kata beliau jika ada pihak yang hendak membuat perubahan ia tidak dibenarkan kerana perkara itu akan menimbulkan pertentangan antara kaum-kaum.

Sementara itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan ucapan Najib sebagai “ucapan penyedar” terhadap isu-isu Perlembagaan, kedudukan orang Melayu dan sebagainya yang kini “menampakkan wujudnya kekeliruan dan kecelaruan” dalam
perbincangan.

“Tapi hari ini Presiden Umno telah menjelaskan, dan saya percaya akan ada satu kesedaran mengenai situasi itu, jadi (tidak ada sebab) kita timbulkan perkara-perkara yang nak menakut-nakutkan, nak memomok-momokkan,” kata bekas Perdana Menteri.

Abdullah berkata dengan kesedaran itu, ia akan menghindar pelbagai perbalahan yang mungkin timbul kerana tidak adanya pemahaman mengenai apa yang dimaktub dalam Perlembagaan.

“Inilah perkata yang kita namakan klausa gagasan politik yang telah berakar umbi dalam Perlembagaan Persekutuan… ertinya apa yang ada dalam Perlembagaan itu dimeterikan dengan diadakan perjanjian dulu serta diadakan muafakat pada masa itu antara semua pemimpin-pemimpin kaum,” katanya.

Lagi Berita