Universiti Di Negara Islam Tidak Perlu Kejar Ranking

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Universiti di negara Islam disaran supaya tidak terlalu mengejar kedudukan ranking sebaliknya perlu lebih memfokus kepada matlamat sebenar penubuhan sesebuah universiti itu.

“Kalau misalnya Universiti Al-Azhar terlibat dengan ranking, ia akan lebih kepada ukuran yang dibuat antara lain seperti soal pensyarah asing, pelajar asing, keupayaan pelajarnya diambil bekerja dan sebagainya.

“Maka dengan sendirinya kewujudan universiti ini tidak dapat memenuhi kehendak pembangunan negara itu (Mesir) ataupun Al-Azhar sendiri tidak dapat memenuhi kehendak dan keperluan agama Islam,” katanya kepada pemberita.

Al-Azhar merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi tertua dan terunggul di kalangan dunia Islam.

Beliau menerima kunjungan hormat Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Republik Guinea, Georges Gandhi Faraguet Tounkara dan Menteri Pendidikan Tinggi, Menengah dan Penyelidikan Saintifik Yaman, Prof Dr Saleh Ali Ba-Surah.

Menteri-menteri berkenaan berada di sini sempena Persidangan Menteri-Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Islam (ICMHESR) yang bermula Selasa lalu dan berakhir hari ini.

Mohamed Khaled berkata kedudukan ranking adalah bertujuan komersial dan pemasaran semata-mata.

“Negara Islam memerlukan satu kerangka kualiti dan meletakkan perkara asas terlebih dahulu sebelum meletakkan sesebuah universiti itu dalam sistem ranking.

“Oleh sebab itu, Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan negara Islam lain yang bersetuju supaya ditubuhkan persatuan agensi-agensi kelayakan semua negara Islam dengan Malaysia menjadi pengerusinya,” katanya.

Beliau berkata persatuan tersebut akan membantu membangunkan kerangka kualiti pengajian tinggi di setiap negara Islam serta memberikan pandangan kepada negara Islam dalam menentukan elemen membudayakan kualiti melalui kerangka kelayakan.

“Maaysia juga akan memperluaskan hubungan di peringkat dua hala dalam sektor pengajian tinggi dengan negara Islam lain bagi membincangkan dan berkongsi pengetahuan serta teknologi bagi meningkatkan kualiti pengajian tinggi dalam kalangan negara-negara Islam,” kata Mohamed Khaled.

Lagi Berita