Lakukan Transformasi Tanpa Jejaskan Asas Perjuangan Bela Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 22 Okt –     Sesi perbahasan ucapan persidangan UMNO 2010 yang bersambung hari ini memperlihatkan pembahas terus menyentuh peri pentingnya UMNO terus mempertahankan hak-hak orang Melayu seperti yang terkandung dalam perlembagaan tanpa bersikap apologetik.

Wakil Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said yang memulakan sesi perbahasan berkata penjelasan umum mengenai fakta kedudukan orang Melayu serta bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain di dalam Perlembagaan Persekutuan wajar dibuat bagi menggelakkan kekeliruan.

Jelasnya sebagai parti terbesar yang mewakili orang Melayu, UMNO tidak seharusnya ragu-ragu untuk terus memperjuangkan hak bangsa sendiri.

“Kalau kita takut berjuang dalam bumi sendiri, di mana lagi kita berjuang. Undang-undang jelas, Perlembagaan jelas, apa lagi yang kita tunggu.

“Kita tidak boleh segan, kita tidak boleh malu untuk memperjuangkan bangsa kita. Kadang kala saya tengok dalam memperjuangkan isu ini kita seperti takut-takut. Takut hati orang lain pula terguris tetapi kalau hati kita yang terguris siapa yang peduli,” katanya.

Bagi wakil Johor Tuan Haji Ayub Jamil pula percaya UMNO boleh melakukan pelbagai transformasi namun asas perjuangan parti untuk membela nasib orang Melayu tidak sedikit pun berubah.

Malah katanya dengan pelbagai program tranformasi yang dilakukan agenda perjuangan tersebut lebih diperkasakan lagi.

Wakil UMNO Melaka,  Datuk Hasnoor Sidang Husin dalam perbahasannya juga menuntut  apa jua model ekonomi yang ingin dilaksanakan, atau apapun perancangan hendak diwujudkan mesti mengambil kira kepentingan orang Melayu agar masyarakat tidak akan menjadi “pengemis di tanah air sendiri”.

“Janganlah jadi umpama itik mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan. Jika kita terleka, proses memajukan negara ini akan menjadi senjata baru untuk menjajah bangsa Melayu sendiri,” katanya.

Beliau berkata Model Baru Ekonomi (MBE) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) perlu mengambil kira keadilan sosial dan keharmonian kaum yang boleh melebarkan lagi jurang ekonomi.

“Terlalu memberi penekanan dalam soal pertumbuhan dan  mengabaikan aspek pengagihan terutama terhadap bangsa Melayu, akan memberi kesan kepada orang Melayu”,  katanya.

Lagi Berita