Pemuda Mahu Lebih Dekati Pelajar Luar Negara

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Pemuda UMNO mahu lebih mendekati pelajar luar negara dalam usaha memahami dengan lebih dekat golongan berkenaan agar pengaruh UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus subur.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata bagi tujuan itu, pihaknya akan mengadakan lawatan dan kunjungan ke negara luar bersama exconya yang lain bagi  mengadakan pertemuan  dalam usaha  memberi nilai tambah terhadap apa yang telah dilaksanakan oleh Sekretariat Kelab UMNO Luar negara.

“Kita telah bincangkan beberapa insiatif untuk dibuat bagi mendekati pelajar universiti peringkat antarabangsa. Sebenarnya aktiviti  ini ditangani oleh Sekretariat Kelab tetapi sekarang Pemuda akan terlibat secara langsung dan akan  buat beberapa lawatan ke luar negara untul  lebih fahami, dekati dan pastikan pengaruh UMNO dan BN  kuat dan dapat dirasai di kalangan pelajar antarabangsa.

“Dan Pemuda melihat minat mereka terhadap UMNO hari ini meningkat dan kita mahu bantu memperluaskan lagi pengaruh  kita di luar negara dan kita juga memberi jaminan kepada sahabat Kelab UMNO supaya mereka dapat terus diserapkan di dalam Pemuda UMNO apabila kembali ke tanah air dan mereka tidak hilang dalam proses birokrasi parti dan sebagainya .

“Sebab ramai memberi pandangan, pulang sahaja ke tanah air susah untuk masuk parti, kena  masuk cawangan, kena masuk bahagian. Saya kata terus masuk dalam aktiviti Pemuda UMNO melalui biro dan kita boleh beri latihan kepda mereka,” katanya.

Kata beliau lagi berdasarkan sesi  dialog dan ucapan yang disampaikan oleh wakil kelab ketika perbahasan, mereka mempunyai bakat dan karisma.

“Saya tengok soalan-soalan yang dibangkiktkan tadi dan ucapan wakil mereka cukup bagus dan inilah modal insan yang perlu kita latih. Kita perlu latih sebagai pemimpin satu hari nanti kerana saya dan barisan kepimpinan Pemuda yang lain sudah pasti akan meninggalkan Pemuda satu hari nanti apabila mencapai had umur,” ujarnya.

Pada sidang media itu juga, beliau turut  mengucapkan terima kasih kepada  wakil-wakil Kelab UMNO kerana mereka bersetuju dengn cadangan agar Akta dan Kolej Universiti dipinda bagi membenarkan pelajar tempatan bergiat  aktif dalam politik.

“ Mereka merasakan sekiranya mereka diberi kebebasan sebagai Kelab UMNO  Luar negara, apa salahnya kalau mahasiswa tempatan diberikan kebebasan yang sama dan UMNO  serta  BN tidak perlu takut sekiranya kita buka ruang untuk pelajar tempatan aktif dalam politik,” katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita