Hati-Hati Malaysian Insider, Malaysiakini

KUALA LUMPUR 22 Okt. – UMNO perlu berhati-hati dan sentiasa memantau laporan The Malaysian Insider dan Malaysiakini supaya kebebasan media yang diamalkan parti itu tidak disalahgunakan oleh kedua-dua portal berita propembangkang itu.

Beberapa aktivis masyarakat ketika ditemui berkata, kebenaran untuk kedua-dua portal itu membuat liputan pada perhimpunan Agung UMNO 2010 jelas membuktikan UMNO merupakan parti yang demokratik.

“UMNO bukan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang) yang berkata perlunya kebebasan media, tetapi beberapa akhbar arus perdana dituduh rasis dan dilarang membuat liputan di setiap program anjuran mereka.

UMNO perlu berhati-hati dan memantau laporan The Malaysian Insider dan Malaysiakini supaya tiada berita yang diselewengkan bertujuan memburukkan parti itu.

Kedua-dua portal itu hari ini memperbesar-besarkan cadangan seorang perwakilan supaya parti komponen Barisan Nasional (BN) menyerahkan kawasan-kawasan yang mereka kalah kepada UMNO, dengan niat untuk melaga-lagakan parti-parti berkenaan.

Malaysiakini menyiarkan berita dengan tajuk UMNO Menang, MCA, MIC Kalah manakala The Malaysian Insider membangkit dakwaan perwakilan berkenaan bahawa parti komponen BN lain sebenarnya tidak berkemampuan.

Terdapat juga laporan dalam Malaysiakini semalam yang memberikan gambaran seolah-olah ahli-ahli UMNO adalah bodoh seperti Pak Pandir kerana hanya mengikut arahan kepimpinan secara melulu.

Mereka juga sependapat bahawa, kedua-dua portal tersebut tidak menghargai kesediaan UMNO membenarkan mereka membuat liputan perhimpunan agung UMNO.

Mereka mahu supaya UMNO bertindak tegas dengan memboikot kedua-dua portal berita itu daripada membuat liputan pada perhimpunan akan datang sekiranya terdapat percanggahan laporan pada perhimpunan kali ini.

Ahli-ahli UMNO pula jangan mudah terpedaya dan mempercayai laporan adu-domba yang dibuat pihak tertentu bertujuan melagakan pemimpin parti itu.

Bekas setiausaha sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, UMNO perlu berhati-hati kerana sudah jelas The Malaysian Insider dan Malaysiakini tidak membawa aspirasi negara dalam setiap laporan yang dibuat.

Malaysian Insider dan Malaysiakini dilihat lebih cenderung membawa agenda musuh yang mahu melihat rakyat berpecah belah seterusnya mewujudkan ketidakstabilan dalam negara.

Malaysian Insider dan Malaysiakini dilihat lebih cenderung membawa agenda musuh yang mahu melihat rakyat berpecah belah seterusnya mewujudkan ketidakstabilan dalam negara.

“Jadi, UMNO perlu berjaga-jaga kerana sudah ada kalangan pemimpin tempatan yang kini mengambil kesempatan daripada agenda The Malaysian Insider dan Malaysiakini demi mencapai cita-cita peribadi mereka.

“Atas nama kebebasan medialah, kedua-dua portal itu kini sering memanipulasi laporan dengan tujuan memecahbelahkan masyarakat serta mencemar imej negara di mata dunia,” katanya.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, tindakan membenarkan The Malaysian Insider dan Malaysiakini membuat liputan pada perhimpunan agung kali ini membuktikan keterbukaan UMNO mengamalkan kebebasan media.

“Jadi, kedua-dua portal berita itu perlu memberi gambaran sebenar dan tidak menokok tambah bagi mengelirukan pembaca,” katanya.

Lagi Berita