Pastikan Ekonomi Melayu Tercapai Dalam PIPB – Razali

KUALA LUMPUR 23 Okt. _ Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, ekonomi Melayu harus dipastikan tercapai dan dijulang secara agresif dalam pembentukan Pelan Induk Pembangunan Bumiputera (PIPB).

“Kita tidak mahu akhirnya Melayu tidak nampak apa yang UMNO buat. Kita juga tidak mahu orang lain tanam, orang lain menuai kerana rakyat tidak memahami apa yang dilakukan, menyebabkan mereka tidak menghargai sumbangan UMNO, ” katanya.

PIPB, tegas beliau, perlu dijadikan sebagai tanda aras supaya sasaran pencapaian Bumiputera dapat dilaksanakan secara lebih sistematik sambil dipantau Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

” Pemuda mahu supaya PIPB memastikan Bumiputera mencapai matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) tanpa sebarang halangan. Agenda membantu Bumiputera di semua kementerian dan jabatan, ekonomi dapat ditransformasi menjadi ekonomi moden dan kompetitif, selaras MBE yang inklusif, ” katanya.

Razali ketika menyokong usul ekonomi berkata, penubuhan MTAB yang menetapkan 30 peratus KPI untuk sesiapa yang menganggotainya bagi memastikan pemilikan ekonomi Melayu dan Bumiputera tercapai, adalah tepat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menggariskan tiga syor, termasuk mewujudkan Inisiatif Perkongsian Tulen dengan memilih individu, syarikat, kesatuan atau Bumiputera yang layak untuk mewakili Melayu.

Namun, beliau mencadangkan MTAB diasingkan daripada agensi kerajaan supaya tidak mengulangi kesalahan lalu seperti penubuhan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang kini dinikmati pihak lain.

“Kita tidak mahu akhirnya Melayu tidak nampak apa yang UMNO buat. Kita juga tidak mahu orang lain tanam, orang lain menuai kerana rakyat tidak memahami apa yang dilakukan, menyebabkan mereka tidak menghargai sumbangan UMNO, ” katanya.

Sementara itu, wakil Wanita UMNO, Sharifah Azizah Syed Zin, berkata berdasarkan komposisi kaum, kuota ekuiti Bumiputera sepatutnya dinaikkan sehingga 60 peratus dan tidak boleh dipertikaikan kaum lain berikutan kuota 30 peratus yang ditetapkan belum mencapai sasaran.

Wakil UMNO Johor, Ayub Jamil, pula mendesak kerajaan supaya segera melakukan tindakan susulan ke atas semua rancangan membangunkan ekonomi Melayu kerana ketika ini sudah wujud anggapan parti terbesar Melayu itu hanya hebat pada dokumen, tetapi gagal melaksanakannya.

Wakil UMNO Pahang, Suhaimi Sulong, berkata pelan induk itu dan MTAB seharusnya memantau program berkaitan untuk memastikan pelaksanaan yang efisien dan efektif.

Wakil Pulau Pinang, Muhamad Farid Saad, berkata masyarakat luar bandar perlu dibela kerana merekalah yang akan membela UMNO nanti.

Lagi Berita