Calon BN Temui Orang Ramai Di Kawasan Bandar

SANDAKAN, 27 Okt – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan pilihan raya Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin pagi ini menemui orang ramai di bandar Ramai-Ramai dan bandar Nam Tung.

Kunjungan untuk melihat permasalahan rakyat tersebut turut disertai timbalan pengarah jentera pilihan raya BN, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Peter Pang En Yin serta pemimpin parti-parti komponen BN yang lain.

Tsen seterusnya akan menemui pengundi di pasar Kim Fung, bandar Hing Loong dan kawasan Perumahan Taman Mawar pada sebelah petang.

Calon dari Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee pula melawat pasar Tanah Merah seawal 7.30 pagi.

Beliau yang juga presiden SAPP turut membuka kaunter semakan pemilih di pasar berkenaan.

Parti MCA juga telah membuka kaunter semakan pemilih tidak jauh dari kaunter SAPP itu.

Belumpun sempat Yong dan penyokongnya meninggalkan pasar berkenaan, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah pula muncul bersama presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ansari turut melawat penduduk Pulau Timbang, pasar di Flat MPS atau Flat Karamunting sementara di sebelah malam akan berceramah di Kampung Bahagia.

Ketua Wanita Umno Sabah Senator Datuk Armani Mahiruddin turut membantu BN berkempen dengan melawat rumah ke rumah di sebelah pagi ini di kawasan Kampung Gas.

Lagi Berita