Kampung Wifi Bantu Suhailatul Layari Internet

GUA MUSANG, 26 Okt – Setiap kali ingin menggunakan internet, Suhailatul Atiqah Mohd Suhaila, 17, terpaksa mengharungi panas terik erjalan kaki selama satu jam untuk menuju ke pusat kafe siber yang terletak di Bandar Baru, di sini berikutan ketiadaan pengangkutan awam.

Penderitaannya berterusan sehingga hampir lima tahun kerana pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Indera Petra 2 itu tidak sanggup meminta keluarganya menyediakan perkhidmatan itu kerana mereka bukanlah daripada keluarga berkemampuan.

“Bagi saya, biarlah kaki lenguh, selipar rosak, kulit muka dibakar panas mentari, asalkan segala tugasan sekolah dapat disiapkan serta tidak menyusahkan ibu bapa dengan permintaan sedemikian,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Suhailatul Atiqah kini sudah boleh menarik nafas lega apabila kampungnya sudah dilengkapi kemudahan melayari internet tanpa wayar secara percuma melalui program “Kampung Wifi” di Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Terah.

Projek Kampung Wifi itu dilancarkan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini.

Suhailatul Atiqah, yang merupakan pelajar cemerlang, turut menerima komputer riba sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sekali gus memberi semangat baru kepadanya untuk lebih berusaha mendapat keputusan terbaik.

Selain Suhailatul Atiqah, seramai 19 pelajar cemerlang kawasan DUN Galas turut menerima komputer riba.

“Alhamdulillah, syukur dan gembira sangat dapat komputer riba ini dan juga kelengkapan Wifi di sini akan memudahkan tugasan saya… lagipun, sekarang ini kebanyakan latihan yang diberi oleh cikgu, kena guna komputer, ” katanya.

Selain Suhailatul Atiqah, turut menyuarakan kegembiraan ialah Nor Amira Adzudin, 17, kerana selepas ini dia tidak lagi perlu meminta daripada
kawan-kawannya untuk menggunakan internet.

“Sukar hendak pergi ke pusat kafe siber, saya pula duduk di asrama. Jadi agak sukar sikit… nak tak nak terpaksa minta tolong kawan-kawan, tetapi ia tidak memenuhi permintaan kerana ada info yang kita nak tak dapat,” katanya.

Lagi Berita