Kemudahan Asas Rumah Pangsa Karamuting DiPertingkat

SANDAKAN 27 Okt. – Kira-kira 3,000 penduduk Rumah Pangsa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Karamunting, dekat sini, bakal menikmati kemudahan tempat tinggal lebih selesa apabila lima blok bangunan usang di situ, akan dicat semula, manakala sistem pembentungan dibaiki melalui peruntukan RM1.7 juta.

Peruntukan itu disalurkan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan penduduk yang kebanyakannya berpendapatan rendah menikmati sistem pembentungan sempurna berbanding kerosakan sistem berkenaan yang kerap berlaku sebelum ini.
Dengan peruntukan terbabit, persekitaran perumahan berusia kira-kira 15 tahun itu bukan setakat lebih ceria, malah membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih ceria.

Peruntukan yang akan diberikan tidak lama lagi itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada program Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Penerangan Sabah di padang taman berkenaan, malam kelmarin.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan barisan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah.

Ketika mengumumkan perkara itu, Muhyiddin berkata, peruntukan berkenaan akan disalurkan tidak lama lagi bagi membolehkan penduduk menikmati kehidupan lebih selesa berbanding sedia ada.
Bagaimanapun, katanya, peruntukan itu bukan untuk memancing undi, sebaliknya keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap nasib rakyat, terutama yang berpendapatan rendah di rumah pangsa berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta anggota masyarakat, terutama pengundi berfikir secara rasional mengenai masa depan generasi akan datang dengan tidak menjadikan tohmahan pembangkang sebagai aspek yang menghalang mereka membuat pilihan kerajaan yang mampu menyediakan peluang untuk mereka menikmati pembangunan infrastruktur dan ekonomi.

“Kita harus menggunakan kebijaksanaan fikiran untuk menilai pelbagai kemajuan yang dibawa Kerajaan BN,” katanya.

Sementara itu, Musa berkata, yang membezakan antara kerajaan BN dengan pembangkang ialah BN bukan setakat mampu berjanji, malah menunaikan janji, terutama yang berkaitan dengan infrastruktur, selain memajukan sosioekonomi rakyat.

“Kita kerajaan BN bukan seperti pembangkang. Mereka hanya datang ke sini untuk berjanji dan menabur fitnah. Mereka juga berbohong. Kita jangan percaya dengan janji kosong mereka.

“Pemimpin BN turun padang untuk mendengar rintihan rakyat. Pemimpin pembangkang turun padang semata-mata untuk menabur janji kosong dan membohongi rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta anggota masyarakat, terutama pengundi supaya mengutamakan masa depan yang lebih cerah dengan memilih calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin.

“Beliau harus diberikan kepercayaan untuk meneruskan usaha mendiang suaminya, Datuk Edmund Chong Ket Wah membawa pembangunan untuk anggota masyarakat di kawasan Batu Sapi,” katanya.

Lagi Berita