Komponen Yakin Peluang Cerah, Pengundi Cina, India Puas Hati BN

GUA MUSANG, 26 Okt – Pemimpin MCA dan MIC yakin peluang Barisan Nasional (BN) menang di Galas cerah terutama menerusi sokongan pengundi Cina dan India di kawasan itu.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata berdasarkan perkembangan terkini pengundi Cina berpuas hati dengan BN yang dilihat lebih berkemampuan untuk membela nasib mereka.

“Kita yakin tradisi sokongan kaum Cina terhadap BN berterusan. Pengundi Cina sedar dan tahu kerajaan negeri tidak membela nasib mereka dari segi pembangunan infrastruktur dan dasar-dasar Pas yang tidak menyeluruh.

“Saya yakin dengan keberkesanan jentera BN, kita akan dapat memikat hati mereka”, katanya kepada UMNO-Online semasa proses penamaan calon bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di sini, hari ini.

Mengenai pendekatan yang akan digunakan MCA pula, beliau berkata pihaknya akan menemui pengundi Cina secara berkelompok atau berkumpulan yang diselaraskan bersama jentera MCA tempatan.

“Kita juga akan mengadakan sembang petang bagi memperkenalkan calon di samping menerangkan isu tempatan dan nasional.

“Cara ini lebih berkesan memandangkan keadaan dan keperluan di sini”, ujarnya.

Sementara itu Naib Presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam berkata biarpun jumlah pengundi kaum India di DUN Galas hanya sebilangan kecil iaitu seramai 186 orang, ia merupakan satu jumlah penting yang tidak boleh dipandang ringan.

Justeru tegasnya MIC akan memastikan jumlah kecil itu mampu menyumbang dan membantu BN mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil DUN itu.

“Menang atau kalah dalam pilihan raya kecil ini adalah dengan setiap satu bilangan yang penting, bermakna 186 undi mustahak untuk BN,” katanya.

Beliau yang turut mengiringi calon BN di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang seterusnya berkata jentera MIC telah mengenal pasti lebih 150 pengundi yang bakal menberi sokongan penuh terhadap BN.

“Jentera MIC bermula dari peringkat atasan sehingga ke akar umbi akan turun bersama-sama untuk berkempen pada pilihan raya kali ini.

“Kita juga sedang dalam peringkat untuk berjumpa lebih 150 pengundi itu dan cuba membantu mereka selesaikan masalah-masalah yang dihadapi mereka dan menaruh harapan tinggi agar mereka membantu memberi sokongan,” ujarnya. -MediaUMNO

Lagi Berita