Lima Pasukan Khas Kaji Pengurusan Depot Tahanan

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menghantar lima pasukan khas ke beberapa negara bagi mengkaji keberkesanan pengurusan depot tahanan di negara berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata antara negara yang bakal dilawati ialah Australia, Belanda, Dubai, Hong Kong dan Thailand yang diharap dapat membantu KDN meningkatkan pengurusan depot tahanan di dalam negara.

“Kementerian juga telah menubuhkan Jabatan Pengurusan Depot yang terdiri daripada anggota Rela, Jabatan Penjara dan Jabatan Imigresen di mana kepakaran mereka digembleng untuk mengurus dan mentadbir depot-depot,” katanya menjawab soalan Anggota Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed.

Hishammuddin berkata KDN telah mengambil langkah keselamatan bagi memperketat kawalan di depot tahanan.

Antara langkahnya ialah penambahbaikan terhadap bangunan lama yang dijadikan depot tahanan dan pemasangan pagar selain memantap dan meningkatkan tahap profesionalisme pegawai bertugas.

Pada awal bulan ini, Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan berjumlah RM100 juta kepada KDN untuk menaik taraf keselamatan depot-depot.

Beliau berkata 60,377 orang warga asing ditahan di 12 depot di seluruh negara sejak Januari hingga 22 Okt lepas.

Lagi Berita