Pemuda Gua Musang Nafi ‘Cah Keting’

Gua Musang 27 Okt – Pemuda UMNO bahagian ini menafikan wujud “cah keting” terhadap calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz  pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, Bazlan Baharuddin berkata pergerakan itu menyokong sepenuhnya pemilihan Abdul Aziz sebagai calon BN dan sama sekali tidak berhasrat untuk memboikot atau “cah keting”.

Tegas beliau Abdul Aziz telah dipilih sebulat suara dan tidak timbul soal tersebut sepertimana dakwaan sesetangah pihak yang hanya mahu melihat UMNO Gua Musang berpecah belah.

“Tidak benar sama sekali…Kalau saya boikot takkan saya pun turun berkempen di beberapa kawasan bersama Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. Hari ini pun saya bersama Khairy dan jentera Pemuda BN yang lain berkempen di Pasar Gua Musang untuk bertemu pengundi.

“Begitu juga dengan gerakan jentera Pemuda….masing-masing komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk memastikan kemenangan calon kita pada 4 November nanti,” katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Beliau bersama Khairy berkempen di Pasar Gua Musang dan mempunyai jadual yang padat untuk bertemu pengundi muda pada hari ini.

Bazlan seterusnya menambah, pemilihan Abdul Aziz juga telah direstui oleh pemimpin pucuk pimpinan dan pergerakan itu akur kepada apa yang telah diputuskan.

“Kita mengutamakan parti dan bukannya kepentingan diri sendiri selaras dengan amanat pucuk pimpinan pada perhimpunan agung UMNO baru-baru ini. Justeru saya amat berharap provokasi dan dakyah sedemikian tidak mengganggu gugat kelancaran kempen BN yang giat berjalan,” ujarnya. -MediaUMNO

Lagi Berita