Selama 20 Tahun, Apa Yang Pas Buat Di Gua Musang?

GUA MUSANG, 26 Okt –  “Apa yang Pas sudah buat di Galas dan Gua Musang ini walaupun sudah 20 tahun memerintah….tolong bagi saya satu senarai contoh”, demikian cabaran Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

“… saya yakin kalau ada pun satu dua lah…yang beratus segala perkara yang ada di Gua Musang ini semua adalah usaha BN dan kerajaan pusat”, katanya.

Pas kata beliau lagi  dalam ceramah mereka  menyebut semua kerajaan  hatta komunis pun akan membuat pembangunan tapi malangnya di Kelantan walaupun sudah memerintah selama 20 tahun kebanyakan pembangunan dilakukan oleh Barisan Nasional iaitu Kerajaan pusat.

“ …itu ceramah Pas yang popular …dia kata sama ada kerajaan sosialis, komunis buat pembangunan belaka …jadi Pas kata pembngunan itu bukan hak mana-mana kerajaan”, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Justeru beliau memberitahu  sudah pasti isu-isu pembangunan akan menjadi keutamaan BN dalam siri kempen bagi menarik sokongan pengundi di Galas.

“Semua rakyat mahukan pembangunan sebagai contoh yang terbesar  apa yang kita buat ialah pecah tanah projek perumahan rakyat bernilai RM180 juta …kalau rakyat tak mahu tentang itu tak tahulah saya …yang pasti mereka ingin pembangunan, mereka inginkan rumah”, ujarnya.

Mengenai perbezaan latar belakang pendidikan antara calon BN dan Pas pula yang mungkin dijadikan modal pihak lawan, beliau berkata apa yang penting seperti yang dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah BN mementingkan calon yang boleh menang.

“Calon yang boleh menang maksudnya calon yang disukai rakyat calon anak  tempatan , calon yang telah berkhidmat  dan boleh berkhidmat jadi calon yang terbaik …itu calon yang kita mahu.

“…dan calon kita ini juga adalah anak tempatan yang tahu tentang selok belok di kawasan ini…calon mereka bukan anak tempatan sini…klinik yang dia ada pun bukan dalam DUN ini….calon kita ini dah lama dalam Kesedar, lebih kurang 20 tahun dan hampir majoriti  pembangunan di Gua Musang ini dibuat oleh Kesedar dan beliau tahu keadaan di sini”, katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita