UMNO Pusat, Negeri Bersepadu Bantu Bahagian Gempur Galas

GUA MUSANG – UMNO Pusat dan negeri akan membantu jentera parti yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah selaku Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Galas dalam menghadapi pilihan raya kecil kawasan tersebut.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilihan Tengku Razaleigh untuk menggalas tanggungjawab tersebut menunjukkan keyakinan pucuk pimpinan parti kepada Ahli Parlimen Gua Musang itu.

“Kita berterima kasih kepada Tengku Razaleigh yang menggalas tugas sebagai Pengarah dan menggerakkan jentera parti di Galas ini. “Kita yakin dengan kepimpinan beliau, itu sebabnya kita ambil keputusan letakkan beliau sebagai pengarah dan keyakinan kita terhadap kemampuan beliau dalam menjaga khalayak di Galas ini,” katanya.

Beliau ditemui pada penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini hari ini.

Pada pilihan raya kecil itu, calon BN, Abdul Aziz Yusoff akan menentang calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamad dalam pertembungan satu lawan satu.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berharap, rakyat Galas memberi peluang kepada calon BN untuk mewakili mereka dalam memperjuangkan masa depan yang lebih baik.

“Percayalah kalau BN menang, walaupun kerajaan negeri bukan kerajaan negeri BN tetapi Pusat akan membantu calon ini memastikan mereka akan dapat lihat seperti apa yang kita sarankan melalui konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya.

Mengenai gerak jentera UMNO, beliau berkata, UMNO akan bertemu dengan pengundi dan memaklumkan kepada mereka mengenai rancangan-rancangan nasional kerajaan termasuk di Galas.

Malah, katanya, masalah perumahan yang dihadapi oleh penduduk Galas turut diberi perhatian oleh kerajaan BN walaupun pentadbiran negeri ini dikuasai oleh Pas yang terbukti gagal menyelesaikannya.

Mengenai kemungkinan provokasi dicetuskan penyokong Pas sepanjang kempen berlangsung, Tengku Adnan berharap, kedua-dua parti dapat bertanding secara sihat dan tidak terlalu ghairah sehingga mewujudkan keadaan tidak tenteram.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, semua jentera UMNO luar Kelantan masih berperanan membantu kempen pilihan raya kecil Galas tetapi bergerak mengikut tata kerja yang telah ditentukan.

Ditanya kempen Pas dilihat lebih dominan berbanding UMNO dan BN, beliau berkata, perkara tersebut berlaku kerana Pas merupakan pihak yang berusaha mempertahankan kerusi DUN Galas dan mereka sudah pasti akan menggerakkan sepenuhnya jentera untuk mencapai tujuan itu.

Selain itu, katanya, terdapat juga ahli dan penyokong Pas yang datang ke Galas semata-mata untuk berniaga kerana menganggap pilihan raya kecil merupakan satu pesta.

“Dia menganggap ia macam pesta dan mereka akan buat macam-macam tohmahan serta fitnah.

“Kita menganggap ini sebagai bukan pesta tetapi untuk mewakili rakyat bagi memastikan apa kehendak rakyat dan membela rakyat, ini tugas BN. Saya berkeyakinan rakyat makin matang dan tahu mana nak pilih dan mana nak tolak,” katanya.

Lagi Berita