UMNO Selangor Jaga Peti Undi Lepan Tupai

SHAH ALAM, 26 Okt – Umno Selangor akan menghantar 40 wakil untuk menjaga peti undi Lepan Tupai yang mempunyai seramai 600 pengundi berdaftar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata wakil dipilih daripada Umno Bahagian di negeri itu.

“Kita akan sentiasa merujuk kepada Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional bagi kerusi DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah untuk arahan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Akhir Talentime Pemulihan Dalam Komuniti Peringkat Negeri Selangor dan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2010 di sini.

Pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 Nov ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

BN diwakili Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof, 49; manakala calon Pas ialah Dr Zulkefli Mohamad, 44, Pemangku Yang Dipertua Pas kawasan Gua Musang.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya dari Pas, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus.

Lagi Berita