Ab Rauf, 225 Terima Darjah Kebesaran Yang Di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR, 28 Okt. – Pengarah Urusan ARL Global Sdn Bhd Tan Sri Abdul Razak Abdul Latiff hari ini mengetuai 225 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di sini.

Beliau merupakan antara penerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ yang disenaraikan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada Jun lepas.

Pada istiadat penganugerahan yang diadakan hari ini, empat lagi penerima PSM ialah Pengarah Urusan Titijaya Group of Companies Selangor Tan Sri Lim Soon Peng, Pengerusi Bell Corporation Sdn Bhd Tan Sri Low Boon Eng, Pemegang Amanah Yayasan Lau Gek Poh Tan Sri Lau Yu Chak dan Presiden Samling Strategic Corporation Sdn Bhd Tan Sri Yaw Teck Seng.

Empat menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor Datuk Abdul Aziz Kaprawi, Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh, Ketua Jabatan Kanan dan Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur Datuk Dr Ghazali T.V Ahmad Kutty dan Pengurus Rimbunan Hijau Group, Datuk Goh Ah Bah.

Enam orang menerima Johan Mangku Negara (JMN), 13 orang menerima Johan Setia Mahkota (JSM), 69 orang menerima Kesatria Mangku Negara (KMN), 78 orang menerima Ahli Mangku Negara (AMN) dan 50 orang menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN).

Lagi Berita