Gua Musang Ada Potensi Tarik Pelancong

GUA MUSANG, 28 Okt – Jajahan Gua Musang mempunyai tempat-tempat menarik untuk dimajukan sebagai produk pelancongan tetapi ia perlu mengutamakan kebersihan alam sekitar terlebih dahulu, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Sehubungan itu, beliau kesal sikap tidak endah kerajaan PAS Kelantan dalam membangunkan produk pelancongan selain mengabaikan aspek kebersihan.

Katanya Kelantan khususnya di kawasan Gua Musang mempunyai pelbagai tempat menarik untuk tarikan pelancong, namun ia tidak akan berjaya sekiranya bandar tersebut kotor.

“Pelbagai usaha telah dilakukan Kementerian Pelancongan untuk mempromosikan tempat-tempat menarik bukan saja di Kelantan tetapi juga negeri lain. Tetapi, sekiranya Kelantan menerusi Majlis Jajahan Gua Musang tidak menjaga kebersihan kawasan ini, maka segala usaha kementerian tidak akan berjaya,” katanya kepada pemberita selepas menemui pengundi Cina di Kedai Makanan Hon Kee di sini, hari
ini.

Turut sama Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Antara tempat pelancongan menarik di kawasan Gua Musang ialah Tokong Sweet Nyet Kong, Taman Negara Kuala Koh, Homestay Kampung Batu Papan, Taman Etnobotani, Gua Madu dan Homestay Kampung Renok Baru.

Lagi Berita