Kerajaan BN Tetap Teruskan Projek Perumahan Rakyat Gua Musang

GUA MUSANG, 28 Okt. – Pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini adalah bukti kerajaan tetap prihatin dengan permasalahan rakyat, sekalipun dalam keadaan kewangan yang terhad, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Justeru kata beliau, rakyat tidak perlu terpengaruh dengan dakyah PAS yang mahu mempolitikkan isu tersebut, kerana kerajaan negeri yang diteraju parti itu sendiri menggunakan sumber kewangan terhad sebagai alasan kurangnya pembangunan di Kelantan.

“Saya akui di Galas dan banyak tempat-tempat lain masih memerlukan pembangunan tetapi dalam pada itu kita perlu mengurus kewangan yang terbatas dengan berhemah.

“Jadi, kalau kita hulurkan peruntukan yang besar semata-mata untuk membina rumah, maka itu tidak akan mendatangkan hasil dan pendapatan kepada rakyat sekiranya kita tidak sediakan peluang pendapatan lain,” katanya kepada media di sini hari ini.

Mohd Shafie yang juga Naib Presiden Umno berkata kerajaan juga perlu bijak mengimbangi antara memenuhi keperluan asas fizikal dan tuntutan ekonomi rakyat.

“Jadi di Kelantan ini tanggungjawab siapa? (Ada) dia (kerajaan negeri) bina sekolah, buat hospital? Dia tak buat, yang dia buat (letak) bendera bulan merata tempat, pasang sana pasang sini. Dia (PAS) mana ada bina semua tu tapi kalau bendera bulan, masyaAllah, sampai atas bukit pun mereka pasang,” katanya.

Mohd Shafie sebelum itu hadir pada majlis mesra kementerian tersebut di di Balai Raya Kampung Lepan Jaya di sini.

Lagi Berita