Perbuatan Pembangkang Burukkan Negara Jejas Pelaburan Asing

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Kencenderungan pemimpin pembangkang menjaja keburukan kerajaan kepada pihak luar nyata memberikan imej negatif mengenai Malaysia di mata pelabur asing, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata kesan daripada aktiviti itu menyebabkan pelabur asing keliru dengan situasi semasa negara sekaligus mematikan hasrat mereka untuk membuat pelaburan di negara ini.

“Sebagai contoh yang dilakukan pihak tersebut seperti mengatakan sistem kehakiman negara ini tidak adil, ataupun pihak polis kita makan rasuah, negara ini negara Taliban yang disebakan oleh isu kalimah Allah, memang ia beri kesan pada persepsi pelabur asing,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) sama ada perbuatan pembangkang memburukkan imej negara telah menjejaskan kemasukan pelaburan asing ke negara ini.

Mukhriz berkata kerajaan bekerja keras dalam menarik pelabur asing supaya melabur di negara ini termasuk di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang seperti Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

“Justeru, saya minta pemimpin pembangkang yang ke luar negara bersikap lebih patriotik, walaupun mereka tidak sehaluan dengan kerajaan, bagi memastikan pelabur asing terus melabur di negara ini termasuk di negeri-negeri pembangkang,” katanya.

Menurut perangkaan Jabatan Statistik Malaysia, kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini meningkat tahun ini berdasarkan imbangan pembayaran bagi setengah tahun pertama yang bernilai US$3.4 bilion berbanding US$1.38 bilion pada keseluruhan tahun 2009.

“Peningkatan ini disokong oleh langkah proaktif yang dibuat kerajaan bagi merancakkan semula kemasukan FDI termasuk memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan, Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) dan Program Transformasi Ekonomi.

“Selain itu, satu Jawatankuasa Pelaburan Program Transformasi Ekonomi juga diwujudkan di peringkat kementerian dengan kerjasama Unit Pengurusan Prestasi Pelaksanaan (Pemandu) bagi memastikan sasaran pelaburan yang ditetapkan sebanyak purata RM115 bilion setahun di bawah RMK-10 tercapai,” kata Mukhriz.

Lagi Berita