Tiada Masalah Dengan Calon – Wan Hazani

GUA MUSANG 29 Okt – Tiada sebarang permasalahan yang berlaku antara Abdul Aziz Yusof sebagai calon Barisan Nasional (BN) dengan mana-mana individu di UMNO Bahagian Gua Musang.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Gua Musang, Senator Datuk Wan Hazani Wan Mohd Nor berkata, apa yang diperkatakan itu adalah khabar angin yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin tidak berpuas hati dengan pencalonan Abdul Aziz sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil DUN Galas.

“Saya tidak nafikan adanya khabar-khabar angin yang mengatakan wujud masalah antara calon dengan orang bahagian. Ada yang kata kata Ku Li (Tengku Razaleigh), saya juga dengar mereka kata saya juga tak puas hati dengan calon.

“Di sini, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya mengenai perkara itu dan saya anggap ia  sebagai asam garam berpolitik. Perkara seperti ini sering berlaku bukan sahaja di Gua Musang tapi di mana sahaja, tak kira pilihan raya umum atau pilihan raya kecil,” katanya kepada umno-online.

Menurutnya, berikutan perkara itu beberapa pemimpin politik tempatan dan luar bertemu serta menghubunginya untuk mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku di Gua Musang.

“Jika ada masalah, sudahlah tentu kempen pilihan raya yang sedang berjalan ini tidak serancak seperti apa yang berlaku sekarang, Tiap-tiap hari siri ceramah dan program bersama pengundi dijalankan, macam mana orang boleh kata kami semua ada masalah.

“Saya tengok Ku Li turun padang juga, kadangkala dia bersama calon, kadangkala dia berjalan sendiri bertemu pengundi, saya pun buat perkara yang sama, yang penting memastikan BN dapat balik Galas daripada Pas,” katanya.

Wan Hazani berkata, perkara itu timbul mungkin disebabkan ada yang melihat proses kempen di Galas agak hambar berbanding kempen pilihan raya kecil yang berlaku di tempat lain sebelum ini.

“Mereka tak boleh samakan Galas sama dengan tempat lain seperti Hulu Selangor atau Manik Urai, suasana politik di Gua Musang adalah berbeza dan pendekatan yang dibuat juga berbeza.

“Lagipun hari ni baru masuk hari kedua, ialah baru mula, biasalah enjin belum panas lagi, kita lihat hujung minggu ini, suasana akan berubah keadaanya pasti semakin meriah seperti tempat lain,” katanya.

Menurutnya, kedudukan serta kawasan DUN Galas yang besar dan jarak antara satu tempat dengan tempat lain yang agak jauh menyebabkan pergerakkan kerancakkan pilihan raya itu kurang di rasai.

“Pendekatan kami ini juga berbeza, kami tidak mengadakan program ceramah secara-besar-besaran, kami lebih menumpukan perhatian bertemu pengundi secara bersemuka kerana cara itu rasanya lebih berkesan,” katanya.

Menurutnya, tempoh waktu berkempen baru bermula, sudah banyak program sudah dilaksanakan sama ada membabitkan pemimpin pusat dan juga tempatan ini membuktikan tiadanya berlaku masalah di pilihan raya kecil DUN Galas. – MediaUMNO

Lagi Berita