Transformasi Mental Perlu Di Kalangan Penjawat Awam

KUALA LUMPUR  28 Okt  – Seorang bekas menteri hari ini menekankan perlunya transformasi mental di kalangan penjawat awam dalam beberapa perkara termasuk isu kebersihan serta menyelesaikan urusan melibatkan orang awam.
Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar), yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata ia bertepatan dengan seruan yang sering dilaungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya semua pihak termasuk penjawat awam melakukan transformasi dalam pelbagai bidang.
“Jika dibandingkan kita dengan beberapa negara maju, ciri-ciri kebersihan kita perlu dipertingkatkan. Di jabatan-jabatan kerajaan sekalipun bangunan indah, tetapi kalau masuk tandas didapati standardnya amat kurang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya menteri atau ketua setiausaha kementerian melihat keadaan tandas apabila melawat agensi-agensi kerajaan di bawah kementerian masing-masing supaya kesedaran penjawat awam dalam menjaga kebersihan tandas dapat dipertingkatkan.
Selain itu Azmi berkata jabatan-jabatan kerajaan juga perlu memberi perhatian segera terhadap surat-surat atau aduan yang diberikan rakyat.
“Selepas zaman British dulupun setiap pertanyaan kepada kerajaan, (kerajaan) kena jawab dalam satu kad. Dalam satu kad itu ditulis surat tuan itu bertarikh sekian-sekian sedang diterima atau sedang dalam tindakan dan diberi nombor rujukan.
“Orang kampung tunggu, jika tiada jawapan, tiada tindakan sebulan dua dia akan pergi jabatan dan bertanya. Maka (perlu) ada susulan dan kesinambungan
(terhadap aduan daripada rakyat),” kata beliau.
Azmi juga memberitahu meskipun semakin banyak penambahbaikan dilaksanakan oleh kerajaan, beliau kesal kerana budaya penggunaan ‘kabel’ atau ‘orang dalam’
masih diamalkan dalam sektor awam.
Dalam pada itu beliau juga mencadangkan supaya hakim menegur orang awam yang hadir di mahkamah supaya menghormati peraturan yang telah ditetapkan.
“Tahun 1970-an, 1980-an, masuk sahaja hakim dalam mahkamah orang awam dimaklumkan jangan kaki bersila panggung, tak boleh ketawa tak boleh bercakap,
jangan bising.
“Hari ini dalam mahkamah semasa kes-kes sedang berjalan, ada jawapan lucu sikit dari saksi atau tak dipersetujui oleh pendengar sekelilingnya, mereka ketawa bising. Budaya ini wajar diubah,” katanya.
Sementara itu Datuk Shahrir Abd Samad (BN-Johor Baharu) berkata agensi kerajaan seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) perlu mengambil peranan
dalam memastikan skim rumah pertama untuk golongan berpendapatan bawah RM3,000 seperti diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Bajet 2011 akan mencapai matlamatnya.
Ketika gilirannya berbahas, Shahrir yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata SPNB yang mempunyai pengalaman
yang luas dalam pembinaan rumah boleh membantu untuk mendapatkan kawasan perumahan yang strategik dan tidak menyusahkan pemilik rumah pada masa hadapan.
“Macam yang saya lihat di beberapa rumah kos rendah ini, kebanyakannya terletak di kawasan yang jauh dari pinggir bandar, kawasan yang pemulihan tanahnya melibatkan kos yang tinggi hingga menyebabkan kos rumah meningkat. Bukankah ini akhirnya akan menyusahkan pemilik yang pada dasarnya mempunyai
pendapatan di bawah RM3,000 sebulan?” katanya.
Selain itu beliau turut meminta kerajaan memperhalusi semula cadangan untuk membina kereta api laju MRT (mass rapid transit) antara Kuala Lumpur-Singapura
yang dilihat tidak membawa faedah yang seimbang kepada pembangunan ekonomi secara keseluruhannya.
Katanya pembinaan itu dilihat sebagai budaya baru pengamal ekonomi yang mahu melihat perlumbaan pemodenan di antara bandar raya utama di Asia Tenggara.
“Takkan kita nak bangunkan Kuala Lumpur setanding Singapura dan Hong Kong berdasarkan pembinaan keretapi tersebut semata-mata. Saya harap kita tidak
terikut-ikut dengan bandar raya besar lain dan lebih menumpukan pembangunan yang menjurus kepada ekonomi yang lebih menyeluruh dalam negara,” katanya.
Lagi Berita