Galas Penentu Perubahan Di Kelantan – Shafie

GUA MUSANG 29 Okt. – Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan menjadi penentu kepada permulaan perubahan di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata walaupun pilihan raya kecil itu tidak mengubah kerajaan yang diterajui PAS, ia boleh menjadi petunjuk baru.

“Galas menjadi penentu kepada perubahan di Kelantan, kalau kita boleh gerakkan (usaha untuk menawan DUN Galas) maka ia boleh menjadi satu sejarah dalam pilihan raya kecil apatah lagi pada pilihan raya umum nanti.

“Ini akan menjadi petunjuk bahawa kita boleh mengambil tampuk pemerintahan Kelantan daripada PAS. Oleh itu, usaha perlu dimulakan dari Galas,” katanya selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di PPMS Mercu Jaya, Tanah Putih di sini, malam kelmarin.

Pada majlis itu, Mohd Shafie juga menyampaikan sumbangan bahan makanan seperti beras, gula dan susu kepada kira-kira 200 penduduk PPMS Mercu Jaya.

Mohd Shafie yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pembangkang bahawa Kerajaan Pusat melaksanakan projek pembangunan hanya kerana pilihan raya, beliau menafikan dakwaan itu.

Sementara itu, selepas menghadiri majlis menteri bersama pekebun kecil Lepan Jaya di sini, semalam, Mohd Shafie, berkata pengundi perlu sedar bahawa janji dibuat pemimpin PAS dan pakatan pembangkang sepanjang kempen pilihan raya kecil DUN Galas, hanya untuk meraih undi semata-mata.

Beliau berkata, mereka sewajarnya menilai semua janji dibuat pemimpin PAS selepas diberi mandat selama dua tahun pada pilihan raya umum lalu di kawasan ini, sama ada sudah ditunaikan atau sebaliknya.

“Dalam pertemuan saya dengan penduduk Orang Asli di Pos Balar (kelmarin), saya diberitahu yang mereka pernah dijanjikan pemimpin PAS dengan geran tanah ketika kempen pilihan raya umum lalu, tetapi nyata janji itu tidak ditunaikan,” katanya.

Lagi Berita