Ingat Perjanjian 20 Perkara – Zahid

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Pemimpin semua parti yang ghairah memancing undi pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi di Sabah diingatkan supaya tidak mengkhianati Perjanjian 20 Perkara yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia pada 1963.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka sepatutnya memahami sejarah dan menghayati maksud perjanjian itu yang menyaksikan rakyat Sabah bersetuju untuk menyertai Malaysia menerusi pungutan suara.

Justeru beliau menegaskan, kementerian bersedia untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana ahli politik atau pihak berkepentingan yang cuba merombak perjanjian itu serta menggugat keselamatan Sabah seperti diperuntukkan dalam undang-undang negara.

“Saya fikir kalau mereka bersedia untuk membayar harga yang mahal dan membangkitkan perkara ini sebagai galang-gantinya, saya fikir mereka harus lebih berhati-hati dalam memancing undi.

“Saya harap perkara ini tidak diulangi, berkempen dengan cara yang baik, gunakan isu-isu yang tidak sensitif dan jangan sentuh perkara-perkara yang telah mendapat persetujuan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat Diraja Thailand, Jeneral Prayut Chan-O-Cha di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas pendekatan kempen Parti Maju Sabah (SAPP) yang memperjuangkan konsep Sabah untuk Sabah dan autonomi pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi yang sedang berlangsung.

Kelmarin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menegaskan, konsep SAPP itu tidak lagi relevan kerana semua rakyat termasuk di negeri berkenaan kini hidup dalam keadaan aman dan harmoni di bawah Malaysia.

Lagi Berita