Kempen “Sabah Untuk Sabahan” Sudah Ketinggalan

SANDAKAN,  29 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan meminta pengundi di Batu Sapi agar menolak tema kempen “Sabah Untuk Sabahan” yang cuba dibawa parti lawan yang ternyata sudah ketinggalan.

Ini kerana jelas beliau pemimpin Sabah sekarang sudah menjadi pemimpin Malaysia sama ada dalam UMNO mahupun kerajaan.

Beliau memberi contoh  seperti  Ketua Menteri,  Datuk Seri Musa Aman,  Menteri Pembangunan Luar Bandar & Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal,  Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin, Timbalan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin, Timbalan Menteri Pengangkutan,  Datuk Rahim Bakri dan Datuk Bung Mokhtar.

“Malah pemimpin komponen juga diberi peluang menjadi pemimpin kabinet dalam negara seperti Menteri Perladangan Industri & Komoditi, Tan Sri Benard Dompok, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus dan Ahli Parlimen Sandakan, Datuk VK Liew.

“ … begitu juga Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail dan Pengarah Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia,  Datuk Seri Bakri Zinin yang juga dari Sabah”, katanya ketika berucap di Kampung Bukhara dan Kampung Karamunting di sini, malam tadi.

Malah beliau mengingatkan pengundi bahawa calon Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee adalah dari Likas manakala calon Parti Keadilan Rakyat (PKR),  Ansari Abdullah dari Tuaran.

“Mereka (Yong Teck Lee, Ansari Abdullah ) tak pernah nampak muka di Batu Sapi sebelum ini hanya sibuk baru sehari dua, menabur janji fatamorgana, janji ilusi yang tiada langsung ‘track record’ sebarang kejayaan, tiada sebarang pembangunan untuk penduduk tempatan.

“Datin Linda Tsen Thau Lin calon BN adalah dari Sandakan, calon tempatan yang hampir dengan pengundi sejak dari dulu lagi.  Beliau tentunya akan meneruskan usaha pembangunan BN yang telah dilaksanakan, yang banyak terpampang depan mata”, ujarnya.

Lagi Berita