Kerajaan Pembangkang Susahkan Rakyat

SANDAKAN 28 Okt. – Pakatan pembangkang diingatkan supaya tidak terlalu bongkak dengan mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menaikkan harga barang keperluan rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, apa yang berlaku di Kedah dan Pulau Pinang membuktikan kerajaan pembangkang menyusahkan rakyat dengan menaikkan harga barang keperluan rakyat.

“Di Kedah dan Pulau Pinang mereka menaikkan harga air, satu keperluan penting rakyat. Jadi mereka pandai mengata orang sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penyeragaman barang keperluan di kawasan Parlimen Batu Sapi di Kampung Segaliud di sini hari ini.

Beliau mengulas kempen pembangkang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri Galas yang mendakwa kerajaan BN tidak prihatin kerana kerap menaikkan harga barang keperluan harian.

Ismail Sabri berkata, kerajaan BN sentiasa berusaha memastikan harga barang dapat dikawal menerusi peruntukan undang-undang seperti pengenalan Akta Pencatutan yang menghalang peniaga menaikkan harga barang sesuka hati atau pelaksanaan program-program seperti dilancarkan hari ini.

Sebaliknya beliau mendakwa, kerajaan pakatan pembangkang hanya tahu mencari kesalahan orang lain tetapi tidak pernah melaksanakan usaha yang boleh menghalang kenaikan harga berkenaan.

”Apabila mereka naikkan harga air di Kedah dan Pulau Pinang, mereka menyalahkan kerajaan Pusat sedangkan ia adalah kesilapan mereka sendiri kerana tidak cekap mengurus dan tidak membayar hutang,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Ismail Sabri mengingatkan pengundi supaya tidak terpedaya dengan janji-janji pembangkang kerana pakatan tersebut tidak mempunyai kuasa.

Sebagai contoh, beliau berkata, Ahli Parlimen Sibu dari DAP ketika berkempen pada pilihan raya kecil Sibu tahun lalu mendakwa boleh menyelesaikan semua masalah penduduk seperti banjir dan perumahan rakyat.

”Hari ini dia meminta Kerajaan Pusat bantu. Dahulu kata boleh selesaikan semua masalah. Jadi, kita jangan tertipu janji pembangkang,” katanya.

Lagi Berita